Inilah sebahagian ungkapan yang telah dinyatakan oleh anak Tok Guru dalam blognya baru-baru ini. Isu yang melingkari Tok Guru sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak membuka mata pemerhati politik.
Saya secara peribadi tidak pernah berjumpa apatah lagi berkenalan dengan Tok Guru. Tetapi sering mengambil tahu dan mengikuti perkembangan beliau. Apa pun yang ingin saya kongsikan iktibar dari semua yang berlaku ini mengingatkan saya terhadap perisitiwa yang telah berlaku hampir 15 tahun yang lampau.
Di ketika mana saat Al-Arqam telah diharamkan secara rasmi dengan disusuli tindakan menutup semua markas dan perkampungan mereka diseluruh Malaysia. Manakala Ust.Ashaari pula telah diekstradisi secara paksa dari Thailand dan setelah itu ditahan pula dibawah ISA selama 10 tahun.
Apa yang menariknya peristiwa disebalik itu ialah mengenai campurtangan keluarga Ust.Ashaari selama ini terhadap corak pimpinan beliau yang beroperasi dari luar Malaysia. Dipenghujung usia jemaah Al-Arqam itu banyak kenyataan yang telah dikeluarkan terutama melalui Ummu Jah telah menimbulkan fitnah yang bukan sedikit, sehingga menimbulkan banyak konflik dan percanggahan pendapat dan arahan yang bertindih-tindih. Siapa yang tidak kenal dengan watak-watak seperti Ummu Jah,Fakhurrazi,Nizamuddin & Nasrullah. Mereka adalah merupakan ahli keluarga Ust.Ashaari dan paling berpengaruh dikalangan ahli jemaah Al-Arqam. Dan Ust.Ashaari sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.
Dan sehingga kini walaupun Jemaah Al-Arqam telah tiada tetapi watak-watak itu masih terus mengelilingi beliau. Bayangan beliau telah ter"shadow" dek mereka ini. Peribadinya juga telah tercalar juga kerana tindakan-tindakan mereka ini.
Saya kadangkala merasa hairan kenapa orang melayu selalu sahaja mengangkat martabat seorang manusia yang lain terlalu tinggi hingga kadangkala hampir menyamai taraf Nabi kalaupun tidak digelar Nabi. Hanya kerana amalan mereka dan keterampilan mereka. Hingga kerana itu mereka semacam tidak pernah bersalah.
Begitulah apa yang telah berlaku sekarang terhadap peribadi Tok Guru. Drama saat Al-Arqam hancur kini telah diulang tayang semula cuma watak-wataknya sahaja yang bertukar kepada Ariffahmi,KickdeFella,Nik Abduh dan Husam.
Peribadi Tok Guru yang simple dan merendah diri selama ini telah tercalar dengan isu MPKB melalui watak utama seperti Ariffahmi dan Kickdefella. Bayangkan selepas ini akan banyak lagi isu-isu yang bakal dibongkar oleh mereka-mereka ini yang akibatnya nanti akan menghancurkan imej Tok Guru sendiri. Kenyataan oleh Nik Abduh juga akan bakal menambah marak api kehancuran imej Tok Guru itu nanti.
Akhirnya insan bersih seperti Tok Guru akan mengikut jejak Ust.Ashaari yang bakal musnah imejnya dan tercalar peribadinya dek kerana fitnah dan tempias api dendam setengah pihak yang bermusuhan didalam jemaah Tok Guru. Inilah yang kita bimbangkan. Pada pendapat saya eloklah jika benar-benar Tok Guru mahu berehat dan meninggalkan terus dunia politik ini yang kotor dan menipu daya. Didiklah ahli-ahli jemaah agar lebih membesarkan akhirat berbanding dengan dunia. Ingatkan mereka dengan akhlak Khulafa Ar-Rasyidin yang menangis bila diberikan jawatan. Bimbang bakal dipertanggungjawabkan. Cerita mengenai Umar Ibnu Aziz yang enggan menggunakan pelita ketika berbicara bersama-sama anaknya bimbang menyalahgunakan hak kerajaan. Begitu halus budi pekertinya.
Juga cerita mengenai Ali yang berhenti melawan ketika dia diludah oleh musuhnya,bimbang jika dia melawan bukan kerana Allah sebaliknya kerana nafsu. Cerita begini hendaklah senantiasa diulang tayang terutama kepada ahli-ahli jemaah Tok Guru sendiri. Agar mereka dapat menghayatinya secara sungguh-sungguh. Sehingga menjadi budaya hidup yang akhirnya dapat memberi contoh teladan yang baik buat rakyat jelata terutama rakyat Kelantan.
Saya berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara Tok Guru dan membersihkan beliau dari segala fitnah dan hasad dengki manusia. Dipanjangkan umur agar dapat mendidik manusia kembali kejalan Allah. Wallahualam.