Sunday, February 28, 2010

Mencari Bahagia


Semua manusia memburu ketenangan dan kebahagiaan
Kerana ia fitrah semulajadi manusia
Dimana ketenangan dan dimana bahagia
Pada harta pangkat dan kuasa
Atau pada kecantikan wanita

Kalau disitulah kebahagiaan
Mengapakah jutawan berpenyakit jiwa
Kenapa yg berpangkat pemarah dan beremosi sahaja
Mengapa yg punya kuasa berkrisis sentiasa
Mengapa gila wanita selalu kecewa

Dimana ketenangan dimana kebahagiaan manusia
Sudah lama manusia mencari tiada jumpa
Terumbang ambinglah mereka
Ditengah kemodenan hidup nya canggih
Tapi jiwanya tersisih sedih

Manusia kehilangan kebahagiaan
Walau sentiasa memburunya
Yang disangka bahagia itu rupanya mengecewakan
Harta pangkat dan kuasa jua wanita
Semuanya menipunya.

Manusia kecewa dimana-mana…

Ya Allah itulah Tuhan sumber kebahagiaan
Kenali dan cintailah Allah
Kerana Allah mencinta kita
Cintakan Allah tiada kecewa

Berimana kepadaNya
Dan sembahlah Dia
Ikut syariatNya tawakallah kepadaNya
Mintalah kepadanya berbaik sangka kepadaNya
Itulah penenang jiwa ubat jiwa yang lara
Nikmat bahagia pasti dirasa.


Inilah sebahagian daripada rintihan hidup manusia moden diketika ini, dimana-mana kita sering melihat semua manusia memburu ketenangan dan kebahagiaan mengikut cara dan kepercayaan masing-masing. Barangkali jika ditanya kepada setiap manusia yang kita temui akan terdapat berbagai pendapat dan keyakinan yang berubah-ubah dan tidak setara mengenai pendapat bahagia ini.
Ada kalangan manusia berpendapat jika ingin bahagia maka manusia mestilah pandai dan berilmu,maka dibinalah bangunan canggih untuk melahirkan manusia yang cerdik pandai,bermacam-macam cara dan teknik untuk melahirkan manusia-manusia pandai dilakukan diseluruh dunia bermula dari sejak sebelum kelahiran seorang bayi hinggalah mereka boleh membezakan mana yang baik dan buruk.

Tetapi kesudahannya orang cerdik yang lahir ini bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah masyarakat yang sedia ada malah mereka juga menjadi sebahagian daripada penyumbang statistik kes-kes penyakit masyarakat. Ramai dikalangan orang-orang yang cerdik ini mati membunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan hidup tidak kurang juga ada diantara mereka yang menjual maruah mereka untuk kepuasan hidup. Mengapa terjadi sedemikian?

Ada pula dikalangan manusia berpendapat untuk bahagia kita mesti memiliki harta kekayaan,populariti dan kuasa sebanyak mungkin. Waktu itu apa sahaja yang ingin dicapai dan dimpikan pasti akan menjadi kenyataan. Dunia ini milik kita,tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya. Benarkah golongan ini telah menemui jalan bahagia?

Siapa yang tidak kenal watak-watak hebat yang pernah muncul dalam sejarah dunia seperti Tiger Woods, Marliyn Monroe, Whitney Houston,Bill Clinton,Lady Diana dan lain-lain yang terlalu banyak untuk diperkatakan disini, umum mengetahui samada mereka benar-benar bahagia ataupun tidak. Mereka memiliki segalanya tetapi ada diantara mereka yang memilih untuk membunuh diri bagi mengakhiri hidup mereka,tidak kurang yang memilih perempuan / lelaki selain pasangan mereka yang sah untuk dijadikan pemuas nafsu mereka walaupun mereka telah memiliki segalanya. Apakah mereka telah temui jalan bahagia?

Ada 2 pendapat utama yang bercanggah di dalam membahaskan persoalan bahagia ini. Pendapat yang pertama mengatakan bahagia sebenarnya mestilah lahir dari faktor luaran terlebih dahulu,dan ini adalah pendapat yang umum dan ramai yang menganutinya,tanpa sedar mungkin kita sebahagian daripada mereka. Tetapi hakikatnya pendapat ini telah benar-benar tertolak berdasarkan fakta dan realiti kehidupan yang telah disebutkan sebelum ini.

Pendapat yang kedua yang mungkin agak asing pada kita ialah yang sebenarnya kebahagian itu bermula dari dalam ke luar. Iaitu faktor hati,bila hati tenang dan bersih maka seluruh hidupnya akan menemui ketenangan dan kebahagiaan.

Sebab itulah bila hati sakit dan kotor,ujian hidup yang sepatutnya menyebabkan dia semakin tabah, telah melemahkan jiwa mereka. Ujian hidup itu boleh saja terjadi dalam bentuk seperti kematian orang yang disayangi,ditimpa penyakit samada dalam bentuk ringan mahupun berat, mendapat cacian dan makian daripada orang, hidup miskin dan terbiar,tidak cerdik dalam pelajaran dan lain-lain.

Sedangkan semua orang tahu bahwasanya sebagai Sunahtullah (Rules of Life) tidak ada seorang pun yang hidup atas dunia ini akan terlepas dari ujian kehidupan ini. Tetapi kenapa sering terjadi kita gagal dalam menerimanya dan sering menyalahkan Tuhan. Ini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kita gagal dalam mengingati Allah dengan sungguh-sungguh

Ingatlah bahagia itu yang sebenarnya datang dari dalam hati kita.
Firman Allah yang bermaksud
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah,hati akan menjadi tenang”. Surah Ar Raad:Ayat 28

Itu hakikat yang mungkin sebahagian daripada kita memang mengetahuinya,tetapi sering juga berlaku walau ada diantara kita yang sudah sedikit sebanyak beramal,sembahyang,puasa,zakat bersedekah,berjuang dan berkorban namun jauh sekali untuk merasa tenang samada dalam beramal lebih-lebih lagi dalam menghadapi ujian hidup.

Lagi banyak kita bersembahyang makin jauh hati kita dengan Allah,makin kita berpuasa makin gelisah hati kita,makin banyak menyebut Islam,makin tidak sabar kita dalam berhadapan dengan ujian hidup,kenapa terjadi sedemikian?

Ilmu lain,pengalaman lebih lagi berlainan…

Ingatlah bahwasanya yang dikatakan mengingati Allah itu ia mestilah menempuh 3 peringkat:

Zikir Qauli ( Zikir Lidah)
Zikir Qalbi ( Zikir Hati )
Zikir Fi’li ( Zikir Perbuatan / Anggota)

Kesan daripada zikir yang begini,insya Allah akan melahirkan sifat kehambaan yang tinggi,bila dia diuji dia akan merasa patut dan insaf diatas segalanya. Sentiasa mencari kesalahan diri dan mengutuk-gutuk diri sendiri. Merasa dirinya tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk menghalang,dia tidak memiliki dan dimiliki melainkan hanyalah Allah semata-mata.

Juga diantara kesan yang seterusnya hasil daripada zikir yang menepati kehendak Allah ini akan lahir dari dirinya rasa berTuhan,Allahlah tempat mengadu dan berdoa,tempat mengharap dan tidak putus asa dan tempat berserah hinggakan hatinya senantiasa tenang.

Kesan seterusnya dia akan faham benar-benar akan Qadak Qadar Tuhan,kerja Tuhan yang mana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Sebab itulah menjadi mukmin yang sejati itu tidak akan pernah merasa rugi,manakan tidak jika diuji dengan ujian hidup bila dia berdosa dia yakin dengan kesabarannya nanti Allah akan ampunkan dosa-dosanya kelak,dan jika sekiranya dia tidak berdosa itu tanda yang Allah ingin menaikkan darjatnya disisi Allah sama seperti Rasul dan Nabi-nabi yang mendapat gelaran ULUL AZMI.

Kesimpulan dari semua ini fahamlah kita betapa Allah telah memilih hati sebagai punca bahagia kepada kehidupan manusia. Demi berlaku adil kepada semua makhluknya yang dijadikan berbeza-beza watak,kecantikan,rupa wajah,status kehidupan Allah telah memilih hati sebagai jalan tengah dan jalan penyelesaian yang hakiki untuk dapat ketenangan dan sumber bahagia buat kita semua. Oleh itu marilah kita semua berusaha membersihkan hati kita masing-masing dengan sentiasa berzikir dengan mengingati Allah,ingatlah Fikir yang hebat tidak akan kemana-mana tanpa Zikir yang memimpinnya..Wallahualam

Friday, February 26, 2010


Lazimnya pada 12 RabiulAwal seluruh Malaysia dan umumnya di seluruh Nusantra akan pasti menyambut sambutan Maulid Rasul, bukan sekadar itu sahaja malah ada Negara yang mengisytiharkan cuti rasmi demi membesarkan dan menghayati hari ini. Hari yang penuh bersejarah dan bermakna buat seluruh Umat Islam didunia.

Kelihatan diatas jalanraya umat Islam bersama-sama dengan pemimpin masyarakat berarak sambil membaca selawat dan salam sebagai tanda kecintaan dan kasih kepada Baginda. Amalan ini berterusan sepanjang tahun dan sepanjang zaman,walau ada suara kecil yang cuba mempertikaikannya,yang menganggap amalan membesarkan hari kelahiran Rasulullah S.A.W in sebagai haram dan berdosa,tetapi suara-suara itu tidak pun sekali menghalang perayaan ini diadakan.

Begitulah prihatin dan cinta kasih umat Islam di Malaysia terhadap hari kelahiran baginda nabi. Dan sebagai tanda-tanda kebesaran Allah kepada umat Melayu, semua umat Melayu dikatakan beragama Islam tidak seperti bangsa-bangsa lain didunia. Mereka telah menerima Islam sejak kurun ke 15 lagi sehinggalah kehari ini. Walau ada usaha jahat daripada kolonial barat yang cuba mengkristiankan umat melayu di Nusantara ini ternyata tidak berjaya. Bermacam-macam usaha dan cara telah mereka lakukan,tetapi umat melayu masih lagi berpegang kepada Islam.

Persoalannya,cukupkah sekadar dengan Islam? Apakah Islam hanya dipandang pada solat,berpuasa dibulan Ramadhan,menunaikan zakat dan bagi yg berkemampuan pergi menunaikan haji. Sekadar itu?

Inilah Islam yang menjadi pegangan ramai umat melayu di Nusantara ini. Akibatnya menjadi seorang Islam bukan saja telah menyebabkan ramai umat Islam terhina dan terbiar ,lebih parah dari itu hampir semua penyakit masyarakat ada pada sesetengah individu yang mengaku beragama Islam. Bermula dari penyakit lahir hinggalah kepada yang lebih parah penyakit batin@jiwa.

Walhal Islam yang dibawa oleh kekasih Allah yang bernama Muhamad ini telah pun sempurna dan Allah telah memberi jaminan bagi sesiapa yang mengamalkannya pasti akan dibela dan diberi nikmat ketenangan yang tidak berbelah bahagi. Tetapi ia tidak terjadi kepada sebahagian dari kita? Mengapa?

Untuk lebih jelas mari kita melihat sebagai tanda-tanda kebesaran Allah bagi sesiapa yang benar-benar melaksanakan amanah Allah dan menjadikan Islam sebagai cara hidupnya dari dunia hingga akhirat. Tidak lain dan tidak bukan insan yang patut menjadi idola dan suri teladan yang baik pada kita semua ialah Rasulullah S.A.W insan biasa yang mendapat keistimewaan dari Allah kerana hatinya yang sentiasa rasa dirinya hamba dan berdosa setiap saat dan ketika sehinggakan baginda senantiasa beristigfar sambil menangis sehinggakan bengkak mata tidak kurang 70 kali banyaknya.

Petikan ini saya ambil dari buku Maulid Nabi yang sering dibaca oleh sebahagian daripada umat Islam di Nusantara ini pada setiap malam Jumaat dan Isnin;

Rasulullah adalah org paling cerdik dan paling bersih rohnya,dikalangan manusia sebelum dan sesudahnya,Ilmunya tidak didapati dengan akalnya sebaliknya adalah ilmu yg dijatuhkan Allah didalam hatinya,Kerana itulah dia tidak perlu menulis dan membaca seperti manusia yang lain. Tawakalnya luar biasa,sebab itulah dimalam hari makanan tidak akan disimpan untuk keesokan harinya,dia tidak membalas kejahatan dengan kejahatan sebaliknya memilih kemaafan hinggakan ramai yang Islam kerana nya, beraninya luar biasa dan tiada tandingan,kasih sayang sangat ketara,sabarnya luar biasa,tentang ujian yang diberikan Allah kepadanya dengan berbagai bentuk dia tetap redha, sebab itu baginda digelar ulul azmi,hatinya tidak tidak tidur sekalipun matanya tidur.

Inilah sebahagian bukti dan tanda bagi mereka yang beramal dengan hukum Allah pasti akan diberikan kelebihan sedemikian rupa sehingga mereka dapat merasa Al-Jannatul Ajilah (Syurga yang disegerakan) iaitu perasaan ketenangan yang luar biasa,yang padanya berbuat dan tidak berbuat hanyalah kerana Allah semata-mata. Hidup mereka begitu sempurna,jika kaya,menjadi kaya yang tidak lupa diri dan lupa Allah,hartanya disedekahkan bagaikan air yang mengalir lajunya,jika dia hidup miskin,miskin yang tidak menyusahkan sesiapa,sebaliknya dia miskin dalam keadaan penuh gembira kerana yakin hisabnya diakhirat pasti tidak seteruk mereka yang hidup mewah,jika dia seorang pemimpin dia adalah bayangan Nabi yang boleh menjadi ikutan umat, takutnya pada Allah jelas diwajah dan tindakannya.

Ya Allah harumkanlah kuburnya yang mulia dengan wangian yang segar daripada selawat dan salam. Ya Allah sejahterakanlah dan selamatkanlah serta berkatilah ke atasnya Rasulullah S.A.W.