Saturday, August 15, 2009

Sahabatku Asri

Pagi 13hb Ogos,entah kenapa pagi itu hati saya terasa bagai malas sungguh hendak keluar rumah. Kebiasannya saya dalam pukul 8 pagi dah pun bersiap untuk pergi ke pejabat. Sedang leka buat kerja dari rumah tiba-tiba saya terima panggilan saudara Ramli daripada Kuching,Sarawak yang mengatakan Asri Ibrahim telah tiada..saya terpaku dan sedu sebentar.

Waktu itu menunjukkan jam 11.35pagi dan mengikut maklumat awal beliau telah pun meninggal dunia pada jam 11.30 yakni 5 minit sebelum itu. Saya terus bergegas untuk pergi ke Hospital Pantai,Kuala Lumpur dengan ditemani oleh saudara Amran & Zul Fadzli (Raihan).

Alhamdulillah saya berpeluang melihat wajahnya buat kali terakhir. Dan sejuk hati bila melihat beliau pergi dalam keadaan tenang dengan wajah yang berseri. Ketika itu kelihatan ramai teman-teman yang mula berdatangan untuk melihat juga. Terasa bahwa beliau sangat disenangi oleh semua manusia yang pernah mengenalinya.

Ingatan saya terus menerapa pada ketika era awal 90an dulu. Saya masih teringat ketika itu saya giat dan aktif dengan kumpulan The Zikr. Beliau pula dah lama aktif dengan kumpulannya sendiri yang dikenali Nada Murni. Kami pernah merakamkan video klip bersama-sama yang kalau saya tidak silap "Penawar Hati". Dan saya bersama Nazrey Johani mendendangkan lagu "Al-Hijrah". Yang kerananya kami mula dikenali ramai dikalangan jemaah Islam yang lain dek kerana video klip tersebut.

Beliau saya lihat tidak pernah kelihatan letih dan ternyata komited dengan tugas yang diberikan padanya. Senyuman sentiasa menjadi hiasan dibibirnya walau dimana dia berada. Bicaranya sopan santun dan lemah lembut. Saya bukanlah terlalu rapat dengan beliau,tetapi sekali sekala berjumpa terasa kemesraannya.

Hinggalah bila beliau menubuhkan kumpulan Rabbani dan The Zikr telah ditukarkan kepada Raihan kami masih sentiasa bertemu dalam majlis-majlis rasmi ataupun tidak rasmi. Tetapi,apa yang membanggakan pada saya,walaupun beliau telah dikenali ramai secara komersial berbanding ketika era 90an dulu,yang mana nasyid hanya sekadar didendangkan dimajlis kawin ahli dan majlis usrah tarbiah,tetapi saya melihat beliau tetap sama seperti dulu. Dan saya yakin beliau memang ikhlas dengan perjuangannya. Dan itulah salah satu kekuatan kepada sahabat-sahabat Rabbani yang lain.

Walaupun kumpulan Raihan sendiri telah mengalami gelombang Tsunami mereka,tetapi Asri dan teman-temannya masih tetap bersatu dan berkasih sayang sesama mereka. Asri lah tunggak kekuatan mereka. Semangat juang yang ditunjukan beliau,dedikasi beliau saling tak tumpah seperti semangat yang ditunjukkan oleh Arwah Zaire(Raihan). Kedua-dua mereka adalah ikon nasyid yang perlu dicontohi oleh mana-mana kumpulan yang ingin memperjuangkan irama nasyid dipersada seni.

Pesanan saya kepada sahabat-sahabat Rabbani teruskanlah perjuangan Asri ini,jangalah kalian berputus asa dan hilang arah bila beliau telah tiada. Ingatlah bahwa perjuangan untuk menegakkan dakwah melalui wadah nasyid ini akan tetap subur khususnya di bumi Malaysia.