Monday, December 19, 2011

Alahai Politik Malaysia.


Menjelang saat-saat berakhirnya tahun 2011, maka semakin hari semakin rancak pulalah iklim politik Malaysia bertukar rasa dan warna. Sama dengan pertukaran cuaca dan iklim dunia yang tidak habis-habis dihentam dan dibadai dengan ribut taufan yang ganas, hujan yang tidak mengenal musim lagi, tidak kurang pula kemarau yang menyebabkan ramai manusia mati dan menderita.

Belum pun tiupan PR13 secara rasmi ditiup, tetapi kelihatan disana sini gelombang dan badainya bagaikan tiada hentinya. Simptom tuduh menuduh, bongkar membongkar, tagih menagih, ugut mengugut antara satu parti kepada parti yang lain, diantara bekas penyokong parti dengan parti, diantara pemegang jawatan utama parti dengan bekas pemegang jawatan semakin hari semakin berlarutan. Masing-masing mendabik dada merekalah yang benar dan terpelihara.

Walaupun Najib telah berusaha sedaya upaya beliau untuk menjadi pemimpin terbaik yang pernah dilahirkan dalam Instisusi UMNO, tetapi wajah dan harapan serta gagasan suci beliau semakin terhakis dek karenah segelintir pemimpin-pemimpin UMNO yang syok sendiri dan masih berada ditakuk lama.

Suara-suara pendesak semakin hari semakin ligat dan berkumandang dimana-mana. Dengan menggunakan platform yang digelar PAKATAN RAKYAT dan sebahagian yang lain bergerak aktif melalui NGO. Mereka terus memburu dan menyelongkar apa sahaja keburukan dan kelemahan UMNO. Ironinya semakin kuat suara-suara ini di dengar maka semakin angkuhlah pula pemimpin-pemimpin UMNO yang berjawatan ini untuk terus memegang kuasa walaupun ada juga terdengar batuk-batuk kecil daripada orang parti sendiri yang tidak menyenangi tindak-tanduk mereka.

Begitulah dangkalnya mereka. Apakah yang lebih utama pada pandangan mereka? Mereka atau Parti yang mereka bernaung di bawah panji-panji kebesaran?

Tidak kurang pula dari arah dan gelombang PAKATAN RAKYAT sendiri, ibarat seperti kuman di seberang laut nampak, tetapi gajah di depan mata tidak pernah dipedulikan. Sindrom kuasa dan bayangan yang bakal diperolehi seolah-olah telah menyebabkan mereka sudah tidak lagi mengambil kira senstiviti dan adab bermasyarakat. Bagaimana mungkin mahu membaiki sesuatu yang kelihatannya pincang tetapi diri sendiri masih jauh panggang daripada api. Dikhuatiri nasib nanti ibarat seperti tikus membaiki labu.

Untuk merubah sesebuah negara yang sistemnya sudah berjalan lebih dari 50 tahun bukanlah satu kerja yang mudah dan senang. Perubahan dalam erti kata yang lain merubah struktur, sistem, pola pemikiran rakyat dan segala yang pernah didoktrin kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang pemerintahan BN. PR haruslah mempunyai satu daya usaha yang kuat dan stabil serta kukuh dalam menempuh ujian dan cabaran yang berupa kenikmatan dan kuasa.

Memang senang untuk mengkritik, apatah lagi untuk melihat salah dan lemah pihak lawan. Tetapi amatlah payah jika semua yang kita kritik dan cemuh itu sendiri, adalah merupakan bayangan peribadi masing-masing tanpa sedar. Apakah asas dan doktrin utama yang perlu dipegang supaya semua anasir-anasir ini tidak akan menganggu gugat cita dan matlamat.

Inilah politik demokrasi tajaan barat. Saban tahun kita didedahkan dengan pelbagai kepincangan dan keburukan yang lahir hasil daripada menganut fahaman ini tetapi seolah-olah kita telah sirna dari mencari jalan penyelesaian yang sebenar. Belum sampaikah lagi masanya untuk kita kembali mencari jalan pulang yang sebenar?