Tuesday, September 15, 2009

Politik warisan dan Legasi Politik

Politik Warisan

Pemimpin politik di Malaysia adalah antara pemimpin-pemimpin yang berjaya mewariskan perjuangan dan kuasa mereka kepada anak masing-masing. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Abd.Razak-Najib, Mahathir – Mukhriz, Hussein Onn – Hishamuddin, Ibrahim – Anwar, Abu Bakar Titingan – ( Baharom,Tawfiq & Nizam ), Taib Mahmud – Sulaiman Taib.


Inilah adalah diantara senarai mereka-mereka yang telah berjaya mengekalkan warisan perjuangan dan kuasa mereka sama seperti Raja-Raja Melayu mewariskan kuasa dan tahta kepada Putera Mahkota.


Jika hendak diukur tahap dan prestasi masing-masing berbanding dengan generasi bapa-bapa mereka tentulah jauh panggang daripada api. Kebanyakan daripada anak-anak mereka ini membesar dan mendapat pendidikan di luar negara. Kehidupan mereka dibanding dengan rakyat jelata bagaikan langit dengan bumi.


Tetapi realiti yang berlaku kini, anak-anak inilah yang telah mengambil tempat bapa-bapa mereka sekarang. Amat payah bagi mereka untuk menghayati dan merasa kehidupan bersama rakyat. Walau slogan dan motto perjuangan dicanai dengan slogan perjuangan untuk rakyat,ular yang menyusur akar,takkan hilang bisanya,rakyat diutamakan. Semua ini bagaikan cerita-cerita dongeng yang di bacakan kepada anak kecil sewaktu mereka hendak tidur.


Seringkali juga kita melihat kebanyakan daripada pemimpin-pemimpin ini turun ke gelanggang,tetapi turunnya mereka dari tahta bagaikan putera kayangan. Dengan rombongan Cik Kiah yang ramai,kawalan yang ketat,jarak yang amat luas diantara tempat mereka dengan rakyat, dan juga dengan sedikit bantuan yang ”sekadar melepas batuk ditangga”,ditambah dengan liputan yang meluas dan propoganda dari pihak media,kelihatan seolah-olah mereka benar-benar menghayati masalah dan kepayahan hidup rakyat.


Inilah hakikatnya,mereka naik keatas adalah kerana hasil perjuangan dan strategi berhemah ayahanda mereka. Mereka dapat tempat bukan kerana kebijaksanaan,lebih-lebih kerana kredbiliti masing-masing. Dan ironinya rakyat Malaysia menerima sahaja pemimpin-pemimpin instant yang begini.


Berbeza dengan politik di Barat. Pemimpin-pemimpin mereka dipilih dan terpilih adalah kerana kemampuan dan kelayakan serta sokongan penuh dari rakyat. Di Barat,IQ menjadi nilai/aset penting untuk melayakkan seseorang menjadi ahli politik. Bukan politik keturunan atau warisan.


Saya teringat apa kata Saidina Umar,bila mana ada sahabat mencadangkan agar anaknya Abdullah bin Umar menggantikan tempatnya,katanya,”Cukuplah hanya seorang Umar sahaja yang memegang jawatan khalifah dan di soal akan tanggungjawabnya di depan Allah nanti. Jangan ada lagi Umar yang kedua untuk menanggung bebanan dan tanggungjawab yang besar ini. Tegas dan berhikmah sekali.


Tiada profesion Pemimpin.


Pemimpin bukanlah satu profesion biasa yang boleh ditangani dengan mudah. Tanpa persediaan yang cukup,maka akan lahirlah pemimpin-pemimpin yang instant yang tidak tahan godaan dan tidak mampu melawan hawa nafsu sendiri.


Jawatan pemimpin dijadikan sebagai batu loncatan untuk menambah kekayaan. Ganjaran menjadi keutamaan berbanding dengan peranan. Apabila menang pilihanraya,mereka mengaut untung dengan status ADUN dan MP. Wang yang diperolehi dilaburkan kepada orang-orang dalam parti demi survival mereka. Kemudian mereka bertanding dan menang lagi...Dan megaut untung,kemudian dilaburkan lagi..Begitulah sifir mudah politik wang.


Kualiti pemimpin tidak sama dengan kualiti makanan segera yang sifatnya cepat dimasak,cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul mendadak,lebih-lebih lagi menang dengan cara kotor,akan cepat naik,cepat pula jatuhnya..samalah seperti mi segera.cepat dimasak,sedap dimakan,cepat pula dibuang...


Robin Sharma dalam bukunya bertajuk: The Greatness Guide, ” BEING A LEADER ISN’T ABOUT BEING LIKED,ITS ABOUT DOING WHATS RIGHT!


Memahami erti kepimpinan dan menguasai ilmu tentang elemen-elemen asasnya,adalah merupakan prasyarat buat seseorang menjadi pemimpin. Bayangkan sahaja,sedangkan tukang masak pun mesti mempunyai ilmu tentang masakan,inikan pula tugas seorang pemimpin..yang mengurus dan memimpin manusia.

Sunday, September 13, 2009

UMNO bakal kalah teruk PR ke 13?



Sesuatu yang amat menarik untuk diambil perhatian mengenai pendapat terbaru yang telah dilontarkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir didalam blog beliau ialah mengenai masa depan UMNO. Bernas dan berani pada saya.Iktibar daripada kekalahan parti LDP di Jepun,secara jujurnya memang patut untuk diambil contoh oleh UMNO. Kekalahan UMNO didalam PRK secara berturut-turut mengambarkan tentang betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan UMNO dimasa kini.

Secara jujur juga saya melihat walaupun Pakatan Rakyat mempunyai banyak kelemahan tertentu,tetapi mereka bijak menanganinya. PR walaupun mempunyai dasar dan ideologi parti yang berlainan tetapi boleh duduk bersama menentang UMNO.Dan apa yg paling penting atas motto "Perjuangan untuk rakyat" mereka diterima baik oleh rakyat.

Persoalannya,kenapakah mereka menentang UMNO dan BN bersungguh2? Apakah dosa yang UMNO dan BN telah lakukan sehinggakan seolah-olah tidak ada lagi kebaikan yang ada pada UMNO dan BN di mata mereka. Sia-siakah selama ini apa yang UMNO dan BN telah perbuat untuk rakyat? tempoh 52 tahun mungkin lebih, memerintah bukanlah satu tempoh yang sekejap,mungkin telah terlalu lama sehinggakan rakyat merasakan mereka patut untuk membuat perubahan!

Secara peribadi saya mengatakan, rakyat Malaysia harus belajar menerima sebarang perubahan,tidak kira apa jua. Walaupun siapa pun pemerintah di Malaysia,selagi manusia tidak kenal,cinta dan takutkan Tuhan,selagi itu mereka tidak akan merasa puas,bersyukur dengan apa yang ada.

Manusia akan hidup terseksa,menderita sepanjang masa. Bertambah malang dari itu ideologi-ideologi barat menjadi pedoman hidup mereka. Hidup mereka makin sesat dan hilang arah. Bermula dari pemerintah,ulama,pemimpin masyarakat,ketua jabatan,ketua kampung dan ketua keluarga semuanya akan jadi kucar kacir.

Teringat akan hadis Nabi yang bermaksud; "Didalam diri manusia itu ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya,jika rosak daging akan rosaklah jua seluruh jasadnya,ketahuilah oleh mu itulah hati."

Sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk membaiki hati-hati kita agar menjadi orang yang kenal,cinta dan takutkan Tuhan sepanjang masa. Kerana tidaklah bernilai apa-apa hidup kita ini jika yang dikenal,dicinta dan ditakuti adalah selain dari ALLAH. Persoalannya belumkah lagi sampai masanya untuk kita kembali mengamalkan dan memperjuangkan hak Allah ini? Wallahualam

Saturday, September 12, 2009

NAJIB-UMNO Parti Islam


SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Utusan Malaysia 11 Sept. 2009


Nah! kini faktor Islam telah pun menjadi faktor penting dalam dunia politik semasa Malaysia. Umum mengetahui bahwasanya DS Najib bukanlah berkelulusan agama dan lebih-lebih lagi tidak mempunyai latarbelakang agama yang kukuh seperti pemimpin-pemimpin didalam Pas. Apakah agaknya yang mendorong beliau untuk berkata dan membuat kenyataan sedemikian yang UMNO adalah parti Islam? Apakah ini hanyalah merupakan retorik kosong demi untuk mengambil hati umat Islam di Malaysia? Jika Ya,apakah relevannya,sehingga memaksa beliau bertindak demikian. Tegasnya faktor Islam bukan sahaja relevan malah semakin relevan dalam pencaturan politik Malaysia dulu,kini dan selamanya. Islam menjadi pertimbangan utama buat para pengundi Melayu dan bukan Melayu dalam menentukan kepimpinan. Di saat suasana politik yang belum stabil kini,kita telah dihidangkan pula dengan satu proses demokrasi yang baru iaitu PRK Dun Bagan Pinang walaupun proses PRK Dun Permatang Pasir baru sahaja selesai. Saya merasakan proses pilihanraya kali ini kemungkinan membawa banyak isu-isu hangat yang perlu diselesaikan oleh BN sendiri.

Diketika saat rumah tangga BN yang berkecamuk antara satu sama lain terutama dengan karenah dan tingkah laku pemimpin-pemimpin utama dari kompenen BN sendiri iaitu MCA dan MIC. Tentu ianya tidak dapat tidak akan meninggalkan impak yang bukan sedikit buat BN pada keseluruhannya,terutama sekali pada pemimpin utama BN sendiri iaitu DS Najib.Saat dan ketika ini kepimpinan DS Najib benar-benar teruji.apakah beliau mampu untuk menyelesaikan kemelut dalaman ini? Jika gagal,pasti akan da pihak yang akan mengaut untung dari itu.

BN pada tahun 2004,mendapat kemenangan yang amat besar melebihi 2/3 apabila gagasan Islam Hadhari dipopularkan. Umat Islam di Malaysia merasa sangat tertarik dengan gagasan Islam UMNO ketika itu,berbanding dengan gagasan Islam tajaan Pas.Ditambah pula dengan keterampilan Perdana Menteri ketika itu yang dilihat sebagai pemimpin Islam yang berwibawa.

Tetapi keadaan berubah arah hampir secara drastik pada 2008,apabila orang melayu mula kecewa bila wadah Islam Hadhari semacam kosong tanpa pengisian. Orang melayu yang mengharapkan pembangunan fizikal dan nilai-nilai Islam dibangunkan secara bersepadu mula kecewa.Harapan untuk melihat pembangunan fizikal dan Islam dilaksanakan secara bersepadu tidak kesampaian,rakyat yang kecewa berpatah semula menyokong Pas.

Kemuncak dari itu mengakibatkan pada tahun 2008, BN kalah teruk walaupun masih kekal sebagai pemerintah. Gagasan Islam Hadhari tinggal kenangan dan yang lebih parah dari itu pimpinan UMNO Tun Abdullah Ahmad Badawi diserang,dipersalahkan,dimalukan bukan oleh pengundi-pengundi tetapi oleh ahli UMNO sendiri,hingga memaksa beliau meletakkan jawatan.

Tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan disini ialah, Pas sebuah parti Islam yang dianggap Ultra Islam selama ini tiba-tiba mendapat tempat hasil daripada perubahan berani yang UMNO telah lakukan dengan mengistytiharkan Islam sebagai motto perjuangan mereka. Lembu punya susu,sapi dapat nama. Pas yang selama ini dianggap sebagai Parti Ekstrim Islam telah bertukar wajah dan mula memberi ruang yang luas untuk bukan Islam mendekati mereka. Sehinggakan ada dikalangan calon bukan Islam bertanding menggunakan tiket Pas. Slogan Negara Islam telah bertukar menjadi Negara Berkebajikan!

Kesan daripada pendekatan politik berlabel Islam ini bukan sedikit. Impaknya juga dirasai oleh rakan-rakan pakatan Pas yang lain,iaitu DAP dan PKR. PKR dengan diketuai oleh DS Anwar memang telah pun lama sinonim dengan imej Islam beliau. Malah DAP sendiri sudah mula berani menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam ceramah-ceramah mereka. Malah sudah ada bahagian-bahagian DAP yang menonjolkan orang Islam sebagai Ketua Bahagian mereka. Hilang sudah bisa Karpal Singh yang telah berkata "Langkah mayat saya jika ingin tegakkan Negara Islam di Malaysia". Inilah kerja Tuhan! Bila-bila masa sahaja Tuhan berhak bertindak untuk memuliakan agamanya.

Persoalannya sekarang,kenapa orang UMNO masih teragak-agak untuk membuat perubahan dan pendekatan Islam yang lebih agresif berbanding parti lawan. UMNO perlu sedar bahwasanya orang Melayu-Islam kini inginkan sesuatu yang lebih advance selaras dengan perkembangan dan cabaran mutakhir. Bangsa Melayu inginkan pakej "2 in 1"-pembangunan dan kerohanian bersepadu - memelihara nilai teras (agama),jati diri (bangsa) tanpa mengorbankan keselesaan hidup yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.

Kriteria penting ialah UMNO mesti membina keperibadian,karektor dan etika yang lebih murni berteraskan ajaran Islam.
Tegasnya UMNO mesti dilihat dan diyakini- to be seen and to be belived - sebagai wadah "Mukmin Profesional". Insya Allah.

Friday, September 11, 2009

Lailatul Qadar



Hari ini adalah merupakan hari yg ke 21 umat Islam diseluruh dunia telah berpuasa. Bila dikenang semula terasa begitu cepat masa telah berlalu. Tetapi masa yang lalu tetap akan pergi dan tak kan bisa untuk diulangi semula. Berbaki hanya 9 hari sahaja untuk ramadhan meninggalkan kita. Sinonimnya dihari-hari terakhir ini Allah telah menyediakan sesuatu yang istimewa buat Umat Islam yaitu Malam Lailatul Qadar,malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Saya masih ingat ketika kecil dahulu,orang tua dikampung sering membayangkan yang malam Lalitul Qadar ini adalah malam yang mana barangsiapa dapat bertemu,semua permintaan mereka akan dikabulkan oleh Allah. Waktu itu fikiran saya pantas dan cepat beranggapan apakah agaknya yang akan saya minta jika dapat bertemu malam ini. Tentunya banyak permintaan yang ingin diminta tika itu.

Mungkin tidak perlulah diulas apakah keistimewaan malam ini,kerana umum dari kita telah pun mengetahuinya. Apa yang ingin saya fokuskan disini ialah apakah kesannya dalam kehidupan seharian kita jika memperolehinya? Inilah yang lebih utama!

Mungkinkah semangat dan kecintaan kita dalam menghidupkan malam akan bertambah selepas ramadhan ini,jika pun tidak amalan ini dapat dilaksanakan dengan istiqamah? Ianya akan payah dan terseksa bagi mereka yang beramal kerana fadhilat semata-mata. Tetapi bagi mereka yang selama 11 bulan yang lalu telah pun mula beramal dan istiqamah menghidupkan malam mungkin tidak akan terasa apa-apa.

Dan seperkara lagi yang lebih penting dan utama dari itu semua ialah,adakah amalan malam yang dilakukan telah membuahkan hasil. Membina peribadi berakhlak mulia,kuat dan gigih dalam menjalankan aktiviti seharian. Sehingga dapat melahirkan muslim yang berjiwa besar. Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan bersama...