Thursday, November 26, 2009

Tok Guru

Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh.

Inilah sebahagian ungkapan yang telah dinyatakan oleh anak Tok Guru dalam blognya baru-baru ini. Isu yang melingkari Tok Guru sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak membuka mata pemerhati politik.

Saya secara peribadi tidak pernah berjumpa apatah lagi berkenalan dengan Tok Guru. Tetapi sering mengambil tahu dan mengikuti perkembangan beliau. Apa pun yang ingin saya kongsikan iktibar dari semua yang berlaku ini mengingatkan saya terhadap perisitiwa yang telah berlaku hampir 15 tahun yang lampau.

Di ketika mana saat Al-Arqam telah diharamkan secara rasmi dengan disusuli tindakan menutup semua markas dan perkampungan mereka diseluruh Malaysia. Manakala Ust.Ashaari pula telah diekstradisi secara paksa dari Thailand dan setelah itu ditahan pula dibawah ISA selama 10 tahun.

Apa yang menariknya peristiwa disebalik itu ialah mengenai campurtangan keluarga Ust.Ashaari selama ini terhadap corak pimpinan beliau yang beroperasi dari luar Malaysia. Dipenghujung usia jemaah Al-Arqam itu banyak kenyataan yang telah dikeluarkan terutama melalui Ummu Jah telah menimbulkan fitnah yang bukan sedikit, sehingga menimbulkan banyak konflik dan percanggahan pendapat dan arahan yang bertindih-tindih. Siapa yang tidak kenal dengan watak-watak seperti Ummu Jah,Fakhurrazi,Nizamuddin & Nasrullah. Mereka adalah merupakan ahli keluarga Ust.Ashaari dan paling berpengaruh dikalangan ahli jemaah Al-Arqam. Dan Ust.Ashaari sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.

Dan sehingga kini walaupun Jemaah Al-Arqam telah tiada tetapi watak-watak itu masih terus mengelilingi beliau. Bayangan beliau telah ter"shadow" dek mereka ini. Peribadinya juga telah tercalar juga kerana tindakan-tindakan mereka ini.

Saya kadangkala merasa hairan kenapa orang melayu selalu sahaja mengangkat martabat seorang manusia yang lain terlalu tinggi hingga kadangkala hampir menyamai taraf Nabi kalaupun tidak digelar Nabi. Hanya kerana amalan mereka dan keterampilan mereka. Hingga kerana itu mereka semacam tidak pernah bersalah.

Begitulah apa yang telah berlaku sekarang terhadap peribadi Tok Guru. Drama saat Al-Arqam hancur kini telah diulang tayang semula cuma watak-wataknya sahaja yang bertukar kepada Ariffahmi,KickdeFella,Nik Abduh dan Husam.

Peribadi Tok Guru yang simple dan merendah diri selama ini telah tercalar dengan isu MPKB melalui watak utama seperti Ariffahmi dan Kickdefella. Bayangkan selepas ini akan banyak lagi isu-isu yang bakal dibongkar oleh mereka-mereka ini yang akibatnya nanti akan menghancurkan imej Tok Guru sendiri. Kenyataan oleh Nik Abduh juga akan bakal menambah marak api kehancuran imej Tok Guru itu nanti.

Akhirnya insan bersih seperti Tok Guru akan mengikut jejak Ust.Ashaari yang bakal musnah imejnya dan tercalar peribadinya dek kerana fitnah dan tempias api dendam setengah pihak yang bermusuhan didalam jemaah Tok Guru. Inilah yang kita bimbangkan. Pada pendapat saya eloklah jika benar-benar Tok Guru mahu berehat dan meninggalkan terus dunia politik ini yang kotor dan menipu daya. Didiklah ahli-ahli jemaah agar lebih membesarkan akhirat berbanding dengan dunia. Ingatkan mereka dengan akhlak Khulafa Ar-Rasyidin yang menangis bila diberikan jawatan. Bimbang bakal dipertanggungjawabkan. Cerita mengenai Umar Ibnu Aziz yang enggan menggunakan pelita ketika berbicara bersama-sama anaknya bimbang menyalahgunakan hak kerajaan. Begitu halus budi pekertinya.

Juga cerita mengenai Ali yang berhenti melawan ketika dia diludah oleh musuhnya,bimbang jika dia melawan bukan kerana Allah sebaliknya kerana nafsu. Cerita begini hendaklah senantiasa diulang tayang terutama kepada ahli-ahli jemaah Tok Guru sendiri. Agar mereka dapat menghayatinya secara sungguh-sungguh. Sehingga menjadi budaya hidup yang akhirnya dapat memberi contoh teladan yang baik buat rakyat jelata terutama rakyat Kelantan.

Saya berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara Tok Guru dan membersihkan beliau dari segala fitnah dan hasad dengki manusia. Dipanjangkan umur agar dapat mendidik manusia kembali kejalan Allah. Wallahualam.






Monday, November 9, 2009

Iktibar dari PAS


Sejak kejatuhan empayar Daulah Islamiah (Othmaniah) di Turki sekitar tahun 1920an dengan dikepalai oleh Mustafa Kamal Attartuk. Islam semakin menuju dunia gelap. Daulah Islamiah semakin jauh dan semakin kabur dari pandangan umat Islam sendiri.Hukum dan syariat Allah semakin dilupakan dan dibuang jauh oleh orang Islam sendiri.

Namun begitu usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam untuk memelihara bara-bara api agama itu masih tetap subur dan bersilih ganti pelopornya sehingga kini. Dengan menggunakan berbagai nama dan bentuk jemaahnya, mereka bergelanggang dimana-mana.

Bermacam-macam cara dan kaedah yang telah digunakan oleh mereka demi melihat Islam subur dimuka bumi Allah ini dan hukum Allah berdaulat. Ada diantara mereka yang memilih bidang ilmiah dan ekonomi untuk berjuang, tidak kurang juga yang memilih jalan tariqat yang cenderung kearah evolusi iaitu (jalan menawan hati) mungkin ada yang lebih ekstrem daripada itu memilih jalan peperangan untuk berjuang. Sehingga ramai diantara mereka yang syahid demi kerananya.

Di Negara kita sendiri sudah sekian banyak jemaah Islam yang muncul. ada yang telah berkubur dimamah sejarah seperti Darul Arqam,tidak kurang juga yang masih hidup subur walaupun mungkin tidak segah dulu seperti ABIM,Jemaah Tabligh,JIM dan lain-lain.

Tetapi diantara sekian banyak jemaah Islam yang pernah wujud di Malaysia,saya tertarik untuk memperkatakan tentang jemaah PAS. Sejak tertubuhnya jemaah ini sekitar tahun 1950an dengan di pelopori oleh Ustaz Ahmad Fuad (walaupun setengah sumber mengatakan diasaskan oleh Ustaz Dr.Burhanudin Helmi) PAS bergerak perlahan-lahan mendaki kemercu kejayaan dengan menggunakan kaedah politik demokrasi.

Sudah sekian banyak tokoh-tokoh yang pernah menempah nama didalam Jemaah PAS,sekadar menyebut beberapa nama Ustaz Yusuf Rawa,Ustaz Fadhil Noor,Ust.Nakhaie Ahamad,Datuk Asri Muda dan lain-lain. Hingalah kesaat ini ianya telah diterajui oleh Presiden PAS Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am).

Dengan menggunakan beberapa slogan seperti Negara Islam,Daulah Islamiah dan yang terbaru Negara berkebajikan. PAS masih tetap gah dan mara menuju cita-citanya. PAS FOR ALL! satu slogan yang dapat menarik kaum lain untuk kalaupun tidak menyertainya tetapi berkerjasama dengan PAS.

Kehadiran tokoh-tokoh muda yang tidak berasaskan pendidikan agama secara khusus (baik dari segi ilmu apatah lagi keterampilan) sedikit sebanyak telah merubah corak dan gaya perjuangan PAS yang terkenal dengan ekstrim dan gaya keras samada melalui pidato ataupun bahan bacaan serta penampilan mereka. PAS yang diasaskan dulu oleh tokoh-tokoh agama yang cenderung kepada asas agama yang kuat serta keterampilan agama (jubah dan serban) kini semakin pudar.

Sejak kemenangan yang tidak diduga oleh Pakatan Rakyat (gabungan parti PAS,PKR dan DAP) dalam tahun 2008, dengan menguasai 6 buah negeri termasuk WPKl,dari sehari kesehari kita melihat PAS semakin banyak berubah. Perkembangan ini pada pandangan saya telah sedikit sebanyak menghakis konsep dan hala tuju perjuangan PAS itu sendiri.

Jika sebelum ini,PAS begitu kuat dan gagah dengan pendirian Islamnya yang walaupun dalam banyak hal kelihatan keras dan tidak berhikmah,namun dari segi maruah dan jati dirinya ianya tetap dikenal dan mewakili kapasiti Jemaah Islam yang radikal.

Saya rasa ini ada kaitannya dengan pengaruh dan reform yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh muda yang saya sebutkan tadi. Sejak akhir-akhir ini PAS semakin hilang taringnya dihadapan umat Islam sendiri, khususnya di Malaysia. Apakah kerana ingin mengambil hati rakan-rakan dalam pakatan yang banyak terdiri daripada orang bukan Islam maka PAS harus mengorbankan prinsip-prinsip asasnya?

Amatlah malang sekali jika perkara itu terjadi. Walaupun saya pada umumnya banyak tidak setuju dengan jemaah PAS ini tetapi saya merasa sedih jika kehilangan PAS yang pernah saya kenali dahulu. PAS lah satu-satunya parti yang berlabelkan Islam yang akan bangkit menentang apa saja penyelewengan mahupun sesuatu yang bercanggah dengan hukum agama.

Tetapi apa yang saya perhatikan penyelewengan itu telah pun menjangkiti orang-orang PAS sendiri. Dimanakah silapnya? Apakah tarbiah dan taalim yang dijalankan sejak sekian lama tidak mendatangkan kesan? Mungkinkah kerana terlalu melihat kesilapan orang lain sehingga terlupa untuk mendidik anak buah sendiri. Pekung yang selama ini telah ditutup kemas telah terbuka perlahan-lahan. Onar dan nanah yang membusung menunggu hari untuk pecah!

Disaat dan ketika ini PAS haruslah bangkit segera,baiki diri dan hubungan dengan Allah. Rapatkan barisan,ukhuwah harus dipupuk demi semata dan kerana Allah. Didik ahli dengan ilmu yang sumbernya bernas dan sesuai dengan zaman ini. Banyakanlah merintih dan mohon petunjuk Tuhan agar kita dapat mengenali siapa mereka-mereka yang berwatak pura-pura dengan niat mahu menghancurkan jemaah ini.

Kurangkan berseminar dan berforum mahupun berdemonstrasi, sebaliknya lebihkan amalan soleh, khidmat masyarakat tidak kurang juga program qiamulail dan munajat. Insya Allah Tuhan beri petunjuk dan pedoman dan selamatkan diri kita. Ingatlah parti,jemaah,harta,kuasa dan pangkat hanyalah alat bukan matlamat!.