Tuesday, April 16, 2013

Menjelang PRU 13

Tarikh 3hb Mar 2013 adalah merupakan hari berakhirnya tempoh pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO dan berketuakan Hj Mohd Najib Razak. Telah hampir 55 tahun lamanya kerajaan BN telah pun diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk mentadbir dan mengurus Negara Malaysia ini. Telah berakhir PRU selama 12 kali dan selama itulah BN terus mendapat mandat dari rakyat. 

Jika dilihat dari segi pembangunan dan kebolehupayaan mereka dalam mentadbir negara ini memanglah tidak dinafikan ada kemajuan dan pembangunan yang terancang. Malaysia yang dahulunya sangat mundur dan tidak dikenali menjadi begitu terkenal seantero dunia dengan kepesatan dan sistem urus tadbir serta kemudahan hidup kelas pertama dan prasarana yang tidak kurang dibanding dengan belahan dunia yang lain.

Semuanya kelihatan indah dan menepati citarasa pemimpin mahupun rakyat yang berbilang kaum. Malaysia yang dicita-citakan bakal menjadi negara maju pada tahun 2020 serta pendapatan per kapita rakyatnya bakal meningkat, tiba-tiba dikejutkan dengan banyak isu-isu salah guna kuasa dan ketidak adilan dalam memerintah negara ini.

Tahun 2008 adalah merupakan titik mula dan peningkatan rasa ketidakpuasan hati oleh rakyat terhadap pemerintah. Bila mana undian terhadap Pakatan Rakyat meningkat dengan mendadak. Yang akhirnya BN kehilangan beberapa buah negeri. Kuasa dua pertiga yang mereka miliki hilang dengan mendadak. Pemimpin alternatif menjadi semakin terkenal dan popular dikalangan rakyat. 

Gaya hidup angkuh dan menunjuk-nunjuk telah mula beransur hilang dari mata. Namun begitu masih ada juga terdapat dikalangan pemimpin UMNO yang masih berdegil dan gagal memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat. Hingga menyebabkan usaha keras Hj Mohd Najib Razak seolah-olah tampak sia-sia belaka.Setiap hari peribadi beliau dan isteri menjadi bahan cemuhan,ejekan dan peghinaan dari kalangan mereka yang membenci beliau. Beliau menjadi objek terpenting dalam setiap ceramah dan himpunan yang dijayakan oleh Pakatan Rakyat.

Kebangkitan kuasa Pembangkang.

Sejak daripada kuasa UMNO dan sekutu-sekutu mereka didalam BN telah menjadi tergugat pada tahun 2008, pembangkang di Malaysia telah mendapat satu kuasa dan tenaga baru bagi mengembeleng seluruh tenaga dan kudrat mereka untuk menawan Putrajaya. Saban hari bermacam-macam isu dan juga fakta dibentangkan kepada rakyat akan salah laku UMNO dan sekutu mereka agar rakyat faham dan tahu. Tidak dinafikan sebahagian daripadanya memang ada benarnya tetapi tak kurang juga banyak yang salah dan kelihatan tak masuk akal.

Budaya samseng ,kutuk mengutuk, fitnah, adu domba, kecaman dan juga kurang ajar semacam menjadi satu budaya baru bagi orang melayu saat kini. Ianya telah meresap jauh kedalam fikiran dan minda umat melayu dan sejajar dengan itu membentuk budaya dan pemikiran serta tingkah laku mereka.Hingga akibatnya orang melayu yang terkenal berbudi bahasa dan lemah lembut,sedikit sebanyak telah mula hilang serinya.

Jika kita mahu menilai kebaikan dari ceramah mahupun perhimpunan yang diadakan oleh Pakatan sebagai ukuran kebenaran,ditambah dengan jumlah pendengar yang ramai, saya rasa itu adalah tidak benar sama sekali. Kerana belum tentu yang datang itu adalah merupakan pengundi-pengundi yang layak mengundi dikawasan tersebut,tetapi cukuplah kalau kita anggap sebagai peminat dan penyokong tegar sahaja. 

Perkembangan mutakhir ini membuat saya berfikir sejenak apakah nilai dan budaya yang cuba dibawa masuk ke negara ini melaui jalur politik. Apakah dengan mengganti kerajaan  yang sedia ada sekarang akan dapat menyelesaikan masalah-masalah penyakit masyarakat yang sedia pincang ini?

Matlamat menghalalkan cara

Atas dasar semangat dan kepercayaan bahawa yang salah harus diganti dan ditukar menjadikan ramai dari kalangan masyarakat kita sekarang sudah hilang kewarasan. Hidup penuh dengan dendam amarah dan bongkak. Kita bangkang dan kita kutuk kepada sesiapa yang kita rasakan mereka salah. Konsep hidup dan budaya seperti kebebasan bersuara dan juga menegakkan keadilan sama rata telah dijadikan teras hidup.

Matlamat menghalalkan cara telah membuatkan kita hilang rasa malu,hormat dan toleransi. Akhlak kita menjadi lebih kasar dan tidak beradab. Kesan dari itu, harmoni dan kasih sayang telah tiada,yang ada hanyalah sikap membenci dan melabel dan jauh dari itu menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada mereka yang kita tidak suka atau mungkin tidak sependapat dengan kita.

Kelulusan akademik serta kepetahan bercakap menjadi kayu ukur,benar salah seseorang pada masyarakat. Masyarakat terpengaruh dengan sosok tubuh yang menjelma merata-rata dengan penampilan agama dan juga kepetahan berhujah malah jauh dari itu kehidupan yang kelihatan seperti menolak dunia. Walhal bukanlah yang dikatakan zuhud itu tidak memiliki dunia,tetapi zuhud ialah meletakan dunia itu ditangan bukan dihati!.

Kuasa Asing

Malaysia yang dahulunya dikenali dengan Melaka, setelah itu bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu selepas merdeka, memang telah sekian lama menjadi idaman kuasa asing untuk diajdikan sebagai tapak bagi perkembangan kuasa malah juga penyebaran agama Kristian.

Dengan hasil bumi yang banyak,ditambah dengan iklim tropika berserta kadar bencana alam yang amat kurang menjadikan Malaysia negara yang sangat sesuai untuk didiami. Begitu juga faktor geografinya yang begitu strategik sebagai laluan untuk perdagangan antara timur dan barat.

Sejak kejatuhan Empayar Usmaniah yang berpusat di Istanbul,Turki. Umat Islam menjadi hidangan dan santapan bagi kuasa-kuasa baru yang muncul selepas itu. Kuasa yang didalangi oleh kaum kristian dan yahudi telah cuba memporak-perandakan kehidupan muslimin dengan memperkenalkan cara hidup seperti mereka,seperti fesyen pakaian,ekonomi,pendidikan,sehinggalah keperingkat mentadbir negara mengikut acuan mereka.

Kemunculan mereka ini sangatlah tidak disenangi dan amat disedari oleh kaum muslimin. Tetapi dengan taktik halus dan memperdaya mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan negara-negara Islam yang pernah bernaung dibawah jajahan Khalifah. Dengan menggunakan kuasa serta pengaruh pemimpin tempatan yang berdendam dengan Khalifah,akhirnya banyak rahsia dan kelemahan sistem pemerintahan Khalifah terbongkar dengan sendiri.

Malaysia juga adalah salah satu negara Islam yang tidak pernah terlepas daripada pengaruh dan kekuasaan penjajah yang ingin sekali melihat Malaysia menjadi pusat perkembangan ekonomi dan juga agama kristian. Selama beratus tahun bumi ini dinikmati segala kemewahan dan hasil buminya oleh pihak penjajah, selama itulah juga mereka tidak pernah berhenti untuk cuba mempengaruhi umat melayu disini untuk menerima kristian sebagai agama baru. tetapi hingga saat ini ternyata usaha itu masih tidak berjaya.

Agama Demokrasi

Antara kejayaan serta faktor penting mengapa pengaruh kuasa asing mampu bertahan lama dan bertapak kukuh di negara-negara Islam yang pernah menjadi jajahan mereka hingga kini ialah kerana mereka telah berjaya menanamkan semangat serta faham nasionalis dikalangan umat.

Umat dipisahkan dengan agama mereka melalui fahaman ini. Akibatnya mereka sanggup berperang sesama sendiri hanya kerana ingin mempertahankan bangsa masing-masing. Persaudaraan Islam hilang begitu sahaja.Rasa prihatin untuk membela saudara seislam telah tiada. Hingga kerana itu maka hari ini kita melihat ramai dikalangan saudara seislam kita dibunuh dan dinafikan hak mereka,tetapi tiada sesiapa dikalangan umat Islam yang lain yang bangun untuk membela nasib mereka.

Dengan menjadikan Demokrasi sebagai ajaran baru yang diperkenalkan oleh puak yahudi kepada negara Islam, umat Islam menjadi semakin jauh dan meragui sistem Islam itu sendiri. Pada mereka apa pun yang hendak diperjuangkan ketengah umat ianya hendaklah mendapat sokongan majoriti terlebih dahulu. Hukum hakam Islam hanya dapat ditegakkan jika sekiranya demokrasi berjalan lancar. Akibatnya hampir semua umat Islam percaya dan yakin bahawasanya untuk mengwujudkan sebuah negara yang aman damai serta dapat memberi keadilan sejagat, demokrasi hendaklah ditegakkan terlebih dahulu.

Dakwah jalan penyelesaian

Rasulullah S.A.W ketika permulaan dakwah beliau pernah ditawarkan kuasa, agar dakwah tidak berjalan. Tetapi baginda menolak mentah-mentah tawaran itu dan memilih untuk menjadikan dakwah sebagai platform bagi mendidik umat ketika itu.

Dengan menggunakan formula yang begitu simple tetapi berkesan, akhirnya umat arab ketika itu yang dikenali sebagai "belalang padang pasir", selepas 23 tahun bertukar menjadi sebuah empayar yang gagah dan menakluki 3/4 dunia.

Tiga formula yang baginda perjuangkan telah dapat memberi hasil yang maksimum dalam masa yang begitu singkat. Hingga saat ini para oreintalis barat masih tetap mengagumi kejayaan Rasulullah di dalam mendidik umat arab hingga mampu menjadi tuan-tuan didunia.

Apakah formula tersebut?

1. Rasulullah memperkenalkan kepada manusia tentang siapakah pencipta mereka? hingga manusia merasa rindu dan takut kepada Allah. Juga diterangkantentang peranan Allah dalam setiap kehidupan mereka. Bagaimana Allah tidak pernah terlepas dalam setiap apa pun yang dilakukan oleh setiap manusia didunia ini. Hingga mereka tenggelam dan asyik dengan kebesaran Allah S.W.T

2. Menanamkan rasa keyakinan yang sangat tinggi terhadap hari akhirat. Rindu dan kagum dengan kisah-kisah syurga yang dipenuhi dengan segala kenikmatan serta kesenangannya. Dan juga berjaya menimbulkan rasa takut dan gerun umat terhadap neraka dengan segala macam siksa dan ancaman. Akibatnya umat terlalu membesarkan akhirat lebih daripada dunia. Dunia terasa kecil pada mereka. Mereka lari daripada dunia,tetapi sungguhpun begitu dunia datang mengejar mereka dan dunia berada dibawah tapak kaki-kaki mereka.

3. Memperjuangakan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Sehingga umat pada waktu itu merasakan kesenangan yang mereka ada, adalah kesenangan orang lain juga. Kesusahan yang dirasai oleh orang lain adalah kesusahan mereka bersama. Mereka yang kaya raya sanggup menjadi bank kepada umat,manakala yang miskin disangka kaya kerana tidak pernah meminta-minta jauh sekali dengki kepada si kaya.

Akhirnya lahirlah pada waktu itu watak-watak manusia yang sangat luar biasa. Masih segar dan tetap tercatit ditinta-tinta para generasi solafusoleh untuk menjadi tatapan umat masa ini. Apakah semua ini mustahil untuk terjadi saat ini jika kita benar-benar meniru gaya dan profesional Rasulullah S.A.W dalam melaksanakan formula-formula ringkas dan padat tetapi efissien serta relevan sampai bila-bila untuk dilaksanakan.

Semoga jalan-jalan solafusoleh ini akan ada umat di waktu ini yang mampu dan berkehendak serta bersungguh-sungguh meniru dan memperjuangkannya. Umat Islam telah terlalu jauh terpesong dan menderita dengan formula-formula palsu yang selama ini menjadi candu dan racun pada sebuah kebangkitan Islam di akhir zaman.