Thursday, January 14, 2010

Isu Nama ALLAH


Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 December 2009 yang telah membenarkan pihak Herald - The Catholic Weekly menggunakan penggunaan nama Allah telah mencetuskan polemik yang sangat besar sehingga telah mencetuskan kemarahan umat Islam diseluruh Malaysia yang mengakibatkan berlaku demonstrasi dan juga pembakaran beberapa gereja kecil di Kuala Lumpur. Seperti biasa bila ada isu-isu yg besar seperti ini maka semua pihak akan muncul dan bercakap samada melalui media massa,radio,Tv atau pun blog. Tetapi melihat kepada komentar yang ada tidak ada satu pun komen ataupun cadangan yang mengajak umat Islam supaya kembali kepada akar sebenar tentang jati diri sendiri.

Sekadar menunjukkan rasa marah,prihatin dan memekik-mekik dengan penuh semangat dan amarah yang berpanjangan,apakah dengan cara ini akan dapat membuat pihak musuh-musuh Islam takut kepada umat Islam?
Sudah barang tentu tidak! kerana pada mereka umat Islam yang ada dihadapan mereka adalah umat yang telah sekian lama lalai disuntik dengan doktrin dan propaganda musuh yang lebih membesarkan dunia lebih daripada akhirat. Budaya musuh telah lama berakar umbi dalam jiwa dan pemikiran umat Islam sehingga menjadikan mereka alat untuk musuh menghancurkan Islam semahu mereka. Islam telah lama gersang dan pudar dimata penganutnya. Allah hanya diperlukan ketika mereka susah dan kecewa,malah ada yang lebih parah menyalahkan Allah jika berlaku sebarang musibah ataupun bencana keatas mereka. jauh sekali untuk merasakan kebesaran Allah dalam kehidupan seharian dan sekaligus merasakan peranan Allah didalam setiap tindakan dan perbuatan mereka.

Yang sebenarnya dengan memeluk Islam,umat melayu sudah pun mempunyai satu formula yang mantap didalam membuat perubahan diri dan menjadi bangsa yang cemerlang dan disegani oleh dunia. Tetapi hakikatnya umat melayu masih lagi ketinggalan dari sudut rohaniahnya,melayu masih lagi dicengkam oleh gejala penyalahgunaan dadah,jenayah seks,sumbang mahram dan sejak akhir2 ini gejala berbunuhan sesama keluarga hasil daripada jiwa yang tertekan semakin bertambah bilangan kesnya. Mengapa terjadi sedemikian?

Islam mempunyai pandangan yang sangat luas dan holisitik dalam mentafsirkan akan erti kecemerlangan. Bagi Islam kecemerlangan itu dibahagiakan kepada dua,iaitu cemerlang dunia dan cemerlang akhirat. Kecemerlangan dunia mengikut ajaran Islam ialah bila dapat dianugerahkan dengan nikmat kejayaan,kemenangan,keuntungan dalam bidang-bidang yang diceburi dan kecemerlangan ini tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan ketenangan hati,keharmonian rumah tangga, masyarakat dan negara.

Manakala kecemerlangan diakhirat ialah bilamana mendapat keredhaan Allah dan dimasukkan ke syurga yang abadi kekal selamanya. Inilah yang disebut didalam doa seharian kita iaitu "Hasanah fiddunia & Hasanah fi akhirat".
Kalau begitu fahamlah kita,untuk selamat diakhirat mestilah cemerlang hidup didunia terlebih dahulu. Tetapi jika hidup didunia penuh dengan masalah,penyakit hati dan jiwa yang tidak berkesudahan belum ada jaminan untuk kita selamat bahagia diakhirat kelak.

Saya berdoa dan berharap dengan munculnya isu nama Allah ini semoga umat Islam akan kembali sedar dan kembali kepada Allah dan syariatnya. Hidup kita hendaklah sentiasa membesarkan Allah melebihi segala-galanya. Merasakan bahwa setiap saat dan ketika Allah senantiasa berperanan didalam hidup kita Sedarlah bahwsanya musuh-musuh Islam tidak akan pernah berhenti mahu melalaikan kita dan menjauhkan kita daripada agama kita. Dan yang lebih penting musuh yang duduk diantara dua lambung kita iaitu syaitan dan nafsu sudah barang tentu tidak akan pernah berhenti walau sesaat pun mahu melalaikan dan menyesatkan kita. Wallahualam.



Thursday, November 26, 2009

Tok Guru

Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh.

Inilah sebahagian ungkapan yang telah dinyatakan oleh anak Tok Guru dalam blognya baru-baru ini. Isu yang melingkari Tok Guru sejak akhir-akhir ini telah sedikit sebanyak membuka mata pemerhati politik.

Saya secara peribadi tidak pernah berjumpa apatah lagi berkenalan dengan Tok Guru. Tetapi sering mengambil tahu dan mengikuti perkembangan beliau. Apa pun yang ingin saya kongsikan iktibar dari semua yang berlaku ini mengingatkan saya terhadap perisitiwa yang telah berlaku hampir 15 tahun yang lampau.

Di ketika mana saat Al-Arqam telah diharamkan secara rasmi dengan disusuli tindakan menutup semua markas dan perkampungan mereka diseluruh Malaysia. Manakala Ust.Ashaari pula telah diekstradisi secara paksa dari Thailand dan setelah itu ditahan pula dibawah ISA selama 10 tahun.

Apa yang menariknya peristiwa disebalik itu ialah mengenai campurtangan keluarga Ust.Ashaari selama ini terhadap corak pimpinan beliau yang beroperasi dari luar Malaysia. Dipenghujung usia jemaah Al-Arqam itu banyak kenyataan yang telah dikeluarkan terutama melalui Ummu Jah telah menimbulkan fitnah yang bukan sedikit, sehingga menimbulkan banyak konflik dan percanggahan pendapat dan arahan yang bertindih-tindih. Siapa yang tidak kenal dengan watak-watak seperti Ummu Jah,Fakhurrazi,Nizamuddin & Nasrullah. Mereka adalah merupakan ahli keluarga Ust.Ashaari dan paling berpengaruh dikalangan ahli jemaah Al-Arqam. Dan Ust.Ashaari sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.

Dan sehingga kini walaupun Jemaah Al-Arqam telah tiada tetapi watak-watak itu masih terus mengelilingi beliau. Bayangan beliau telah ter"shadow" dek mereka ini. Peribadinya juga telah tercalar juga kerana tindakan-tindakan mereka ini.

Saya kadangkala merasa hairan kenapa orang melayu selalu sahaja mengangkat martabat seorang manusia yang lain terlalu tinggi hingga kadangkala hampir menyamai taraf Nabi kalaupun tidak digelar Nabi. Hanya kerana amalan mereka dan keterampilan mereka. Hingga kerana itu mereka semacam tidak pernah bersalah.

Begitulah apa yang telah berlaku sekarang terhadap peribadi Tok Guru. Drama saat Al-Arqam hancur kini telah diulang tayang semula cuma watak-wataknya sahaja yang bertukar kepada Ariffahmi,KickdeFella,Nik Abduh dan Husam.

Peribadi Tok Guru yang simple dan merendah diri selama ini telah tercalar dengan isu MPKB melalui watak utama seperti Ariffahmi dan Kickdefella. Bayangkan selepas ini akan banyak lagi isu-isu yang bakal dibongkar oleh mereka-mereka ini yang akibatnya nanti akan menghancurkan imej Tok Guru sendiri. Kenyataan oleh Nik Abduh juga akan bakal menambah marak api kehancuran imej Tok Guru itu nanti.

Akhirnya insan bersih seperti Tok Guru akan mengikut jejak Ust.Ashaari yang bakal musnah imejnya dan tercalar peribadinya dek kerana fitnah dan tempias api dendam setengah pihak yang bermusuhan didalam jemaah Tok Guru. Inilah yang kita bimbangkan. Pada pendapat saya eloklah jika benar-benar Tok Guru mahu berehat dan meninggalkan terus dunia politik ini yang kotor dan menipu daya. Didiklah ahli-ahli jemaah agar lebih membesarkan akhirat berbanding dengan dunia. Ingatkan mereka dengan akhlak Khulafa Ar-Rasyidin yang menangis bila diberikan jawatan. Bimbang bakal dipertanggungjawabkan. Cerita mengenai Umar Ibnu Aziz yang enggan menggunakan pelita ketika berbicara bersama-sama anaknya bimbang menyalahgunakan hak kerajaan. Begitu halus budi pekertinya.

Juga cerita mengenai Ali yang berhenti melawan ketika dia diludah oleh musuhnya,bimbang jika dia melawan bukan kerana Allah sebaliknya kerana nafsu. Cerita begini hendaklah senantiasa diulang tayang terutama kepada ahli-ahli jemaah Tok Guru sendiri. Agar mereka dapat menghayatinya secara sungguh-sungguh. Sehingga menjadi budaya hidup yang akhirnya dapat memberi contoh teladan yang baik buat rakyat jelata terutama rakyat Kelantan.

Saya berdoa agar Allah akan sentiasa memelihara Tok Guru dan membersihkan beliau dari segala fitnah dan hasad dengki manusia. Dipanjangkan umur agar dapat mendidik manusia kembali kejalan Allah. Wallahualam.






Monday, November 9, 2009

Iktibar dari PAS


Sejak kejatuhan empayar Daulah Islamiah (Othmaniah) di Turki sekitar tahun 1920an dengan dikepalai oleh Mustafa Kamal Attartuk. Islam semakin menuju dunia gelap. Daulah Islamiah semakin jauh dan semakin kabur dari pandangan umat Islam sendiri.Hukum dan syariat Allah semakin dilupakan dan dibuang jauh oleh orang Islam sendiri.

Namun begitu usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang Islam untuk memelihara bara-bara api agama itu masih tetap subur dan bersilih ganti pelopornya sehingga kini. Dengan menggunakan berbagai nama dan bentuk jemaahnya, mereka bergelanggang dimana-mana.

Bermacam-macam cara dan kaedah yang telah digunakan oleh mereka demi melihat Islam subur dimuka bumi Allah ini dan hukum Allah berdaulat. Ada diantara mereka yang memilih bidang ilmiah dan ekonomi untuk berjuang, tidak kurang juga yang memilih jalan tariqat yang cenderung kearah evolusi iaitu (jalan menawan hati) mungkin ada yang lebih ekstrem daripada itu memilih jalan peperangan untuk berjuang. Sehingga ramai diantara mereka yang syahid demi kerananya.

Di Negara kita sendiri sudah sekian banyak jemaah Islam yang muncul. ada yang telah berkubur dimamah sejarah seperti Darul Arqam,tidak kurang juga yang masih hidup subur walaupun mungkin tidak segah dulu seperti ABIM,Jemaah Tabligh,JIM dan lain-lain.

Tetapi diantara sekian banyak jemaah Islam yang pernah wujud di Malaysia,saya tertarik untuk memperkatakan tentang jemaah PAS. Sejak tertubuhnya jemaah ini sekitar tahun 1950an dengan di pelopori oleh Ustaz Ahmad Fuad (walaupun setengah sumber mengatakan diasaskan oleh Ustaz Dr.Burhanudin Helmi) PAS bergerak perlahan-lahan mendaki kemercu kejayaan dengan menggunakan kaedah politik demokrasi.

Sudah sekian banyak tokoh-tokoh yang pernah menempah nama didalam Jemaah PAS,sekadar menyebut beberapa nama Ustaz Yusuf Rawa,Ustaz Fadhil Noor,Ust.Nakhaie Ahamad,Datuk Asri Muda dan lain-lain. Hingalah kesaat ini ianya telah diterajui oleh Presiden PAS Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nik Aziz Nik Mat (Mursyidul Am).

Dengan menggunakan beberapa slogan seperti Negara Islam,Daulah Islamiah dan yang terbaru Negara berkebajikan. PAS masih tetap gah dan mara menuju cita-citanya. PAS FOR ALL! satu slogan yang dapat menarik kaum lain untuk kalaupun tidak menyertainya tetapi berkerjasama dengan PAS.

Kehadiran tokoh-tokoh muda yang tidak berasaskan pendidikan agama secara khusus (baik dari segi ilmu apatah lagi keterampilan) sedikit sebanyak telah merubah corak dan gaya perjuangan PAS yang terkenal dengan ekstrim dan gaya keras samada melalui pidato ataupun bahan bacaan serta penampilan mereka. PAS yang diasaskan dulu oleh tokoh-tokoh agama yang cenderung kepada asas agama yang kuat serta keterampilan agama (jubah dan serban) kini semakin pudar.

Sejak kemenangan yang tidak diduga oleh Pakatan Rakyat (gabungan parti PAS,PKR dan DAP) dalam tahun 2008, dengan menguasai 6 buah negeri termasuk WPKl,dari sehari kesehari kita melihat PAS semakin banyak berubah. Perkembangan ini pada pandangan saya telah sedikit sebanyak menghakis konsep dan hala tuju perjuangan PAS itu sendiri.

Jika sebelum ini,PAS begitu kuat dan gagah dengan pendirian Islamnya yang walaupun dalam banyak hal kelihatan keras dan tidak berhikmah,namun dari segi maruah dan jati dirinya ianya tetap dikenal dan mewakili kapasiti Jemaah Islam yang radikal.

Saya rasa ini ada kaitannya dengan pengaruh dan reform yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh muda yang saya sebutkan tadi. Sejak akhir-akhir ini PAS semakin hilang taringnya dihadapan umat Islam sendiri, khususnya di Malaysia. Apakah kerana ingin mengambil hati rakan-rakan dalam pakatan yang banyak terdiri daripada orang bukan Islam maka PAS harus mengorbankan prinsip-prinsip asasnya?

Amatlah malang sekali jika perkara itu terjadi. Walaupun saya pada umumnya banyak tidak setuju dengan jemaah PAS ini tetapi saya merasa sedih jika kehilangan PAS yang pernah saya kenali dahulu. PAS lah satu-satunya parti yang berlabelkan Islam yang akan bangkit menentang apa saja penyelewengan mahupun sesuatu yang bercanggah dengan hukum agama.

Tetapi apa yang saya perhatikan penyelewengan itu telah pun menjangkiti orang-orang PAS sendiri. Dimanakah silapnya? Apakah tarbiah dan taalim yang dijalankan sejak sekian lama tidak mendatangkan kesan? Mungkinkah kerana terlalu melihat kesilapan orang lain sehingga terlupa untuk mendidik anak buah sendiri. Pekung yang selama ini telah ditutup kemas telah terbuka perlahan-lahan. Onar dan nanah yang membusung menunggu hari untuk pecah!

Disaat dan ketika ini PAS haruslah bangkit segera,baiki diri dan hubungan dengan Allah. Rapatkan barisan,ukhuwah harus dipupuk demi semata dan kerana Allah. Didik ahli dengan ilmu yang sumbernya bernas dan sesuai dengan zaman ini. Banyakanlah merintih dan mohon petunjuk Tuhan agar kita dapat mengenali siapa mereka-mereka yang berwatak pura-pura dengan niat mahu menghancurkan jemaah ini.

Kurangkan berseminar dan berforum mahupun berdemonstrasi, sebaliknya lebihkan amalan soleh, khidmat masyarakat tidak kurang juga program qiamulail dan munajat. Insya Allah Tuhan beri petunjuk dan pedoman dan selamatkan diri kita. Ingatlah parti,jemaah,harta,kuasa dan pangkat hanyalah alat bukan matlamat!.




Tuesday, September 15, 2009

Politik warisan dan Legasi Politik

Politik Warisan

Pemimpin politik di Malaysia adalah antara pemimpin-pemimpin yang berjaya mewariskan perjuangan dan kuasa mereka kepada anak masing-masing. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Abd.Razak-Najib, Mahathir – Mukhriz, Hussein Onn – Hishamuddin, Ibrahim – Anwar, Abu Bakar Titingan – ( Baharom,Tawfiq & Nizam ), Taib Mahmud – Sulaiman Taib.


Inilah adalah diantara senarai mereka-mereka yang telah berjaya mengekalkan warisan perjuangan dan kuasa mereka sama seperti Raja-Raja Melayu mewariskan kuasa dan tahta kepada Putera Mahkota.


Jika hendak diukur tahap dan prestasi masing-masing berbanding dengan generasi bapa-bapa mereka tentulah jauh panggang daripada api. Kebanyakan daripada anak-anak mereka ini membesar dan mendapat pendidikan di luar negara. Kehidupan mereka dibanding dengan rakyat jelata bagaikan langit dengan bumi.


Tetapi realiti yang berlaku kini, anak-anak inilah yang telah mengambil tempat bapa-bapa mereka sekarang. Amat payah bagi mereka untuk menghayati dan merasa kehidupan bersama rakyat. Walau slogan dan motto perjuangan dicanai dengan slogan perjuangan untuk rakyat,ular yang menyusur akar,takkan hilang bisanya,rakyat diutamakan. Semua ini bagaikan cerita-cerita dongeng yang di bacakan kepada anak kecil sewaktu mereka hendak tidur.


Seringkali juga kita melihat kebanyakan daripada pemimpin-pemimpin ini turun ke gelanggang,tetapi turunnya mereka dari tahta bagaikan putera kayangan. Dengan rombongan Cik Kiah yang ramai,kawalan yang ketat,jarak yang amat luas diantara tempat mereka dengan rakyat, dan juga dengan sedikit bantuan yang ”sekadar melepas batuk ditangga”,ditambah dengan liputan yang meluas dan propoganda dari pihak media,kelihatan seolah-olah mereka benar-benar menghayati masalah dan kepayahan hidup rakyat.


Inilah hakikatnya,mereka naik keatas adalah kerana hasil perjuangan dan strategi berhemah ayahanda mereka. Mereka dapat tempat bukan kerana kebijaksanaan,lebih-lebih kerana kredbiliti masing-masing. Dan ironinya rakyat Malaysia menerima sahaja pemimpin-pemimpin instant yang begini.


Berbeza dengan politik di Barat. Pemimpin-pemimpin mereka dipilih dan terpilih adalah kerana kemampuan dan kelayakan serta sokongan penuh dari rakyat. Di Barat,IQ menjadi nilai/aset penting untuk melayakkan seseorang menjadi ahli politik. Bukan politik keturunan atau warisan.


Saya teringat apa kata Saidina Umar,bila mana ada sahabat mencadangkan agar anaknya Abdullah bin Umar menggantikan tempatnya,katanya,”Cukuplah hanya seorang Umar sahaja yang memegang jawatan khalifah dan di soal akan tanggungjawabnya di depan Allah nanti. Jangan ada lagi Umar yang kedua untuk menanggung bebanan dan tanggungjawab yang besar ini. Tegas dan berhikmah sekali.


Tiada profesion Pemimpin.


Pemimpin bukanlah satu profesion biasa yang boleh ditangani dengan mudah. Tanpa persediaan yang cukup,maka akan lahirlah pemimpin-pemimpin yang instant yang tidak tahan godaan dan tidak mampu melawan hawa nafsu sendiri.


Jawatan pemimpin dijadikan sebagai batu loncatan untuk menambah kekayaan. Ganjaran menjadi keutamaan berbanding dengan peranan. Apabila menang pilihanraya,mereka mengaut untung dengan status ADUN dan MP. Wang yang diperolehi dilaburkan kepada orang-orang dalam parti demi survival mereka. Kemudian mereka bertanding dan menang lagi...Dan megaut untung,kemudian dilaburkan lagi..Begitulah sifir mudah politik wang.


Kualiti pemimpin tidak sama dengan kualiti makanan segera yang sifatnya cepat dimasak,cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul mendadak,lebih-lebih lagi menang dengan cara kotor,akan cepat naik,cepat pula jatuhnya..samalah seperti mi segera.cepat dimasak,sedap dimakan,cepat pula dibuang...


Robin Sharma dalam bukunya bertajuk: The Greatness Guide, ” BEING A LEADER ISN’T ABOUT BEING LIKED,ITS ABOUT DOING WHATS RIGHT!


Memahami erti kepimpinan dan menguasai ilmu tentang elemen-elemen asasnya,adalah merupakan prasyarat buat seseorang menjadi pemimpin. Bayangkan sahaja,sedangkan tukang masak pun mesti mempunyai ilmu tentang masakan,inikan pula tugas seorang pemimpin..yang mengurus dan memimpin manusia.

Sunday, September 13, 2009

UMNO bakal kalah teruk PR ke 13?



Sesuatu yang amat menarik untuk diambil perhatian mengenai pendapat terbaru yang telah dilontarkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir didalam blog beliau ialah mengenai masa depan UMNO. Bernas dan berani pada saya.Iktibar daripada kekalahan parti LDP di Jepun,secara jujurnya memang patut untuk diambil contoh oleh UMNO. Kekalahan UMNO didalam PRK secara berturut-turut mengambarkan tentang betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan UMNO dimasa kini.

Secara jujur juga saya melihat walaupun Pakatan Rakyat mempunyai banyak kelemahan tertentu,tetapi mereka bijak menanganinya. PR walaupun mempunyai dasar dan ideologi parti yang berlainan tetapi boleh duduk bersama menentang UMNO.Dan apa yg paling penting atas motto "Perjuangan untuk rakyat" mereka diterima baik oleh rakyat.

Persoalannya,kenapakah mereka menentang UMNO dan BN bersungguh2? Apakah dosa yang UMNO dan BN telah lakukan sehinggakan seolah-olah tidak ada lagi kebaikan yang ada pada UMNO dan BN di mata mereka. Sia-siakah selama ini apa yang UMNO dan BN telah perbuat untuk rakyat? tempoh 52 tahun mungkin lebih, memerintah bukanlah satu tempoh yang sekejap,mungkin telah terlalu lama sehinggakan rakyat merasakan mereka patut untuk membuat perubahan!

Secara peribadi saya mengatakan, rakyat Malaysia harus belajar menerima sebarang perubahan,tidak kira apa jua. Walaupun siapa pun pemerintah di Malaysia,selagi manusia tidak kenal,cinta dan takutkan Tuhan,selagi itu mereka tidak akan merasa puas,bersyukur dengan apa yang ada.

Manusia akan hidup terseksa,menderita sepanjang masa. Bertambah malang dari itu ideologi-ideologi barat menjadi pedoman hidup mereka. Hidup mereka makin sesat dan hilang arah. Bermula dari pemerintah,ulama,pemimpin masyarakat,ketua jabatan,ketua kampung dan ketua keluarga semuanya akan jadi kucar kacir.

Teringat akan hadis Nabi yang bermaksud; "Didalam diri manusia itu ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya,jika rosak daging akan rosaklah jua seluruh jasadnya,ketahuilah oleh mu itulah hati."

Sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk membaiki hati-hati kita agar menjadi orang yang kenal,cinta dan takutkan Tuhan sepanjang masa. Kerana tidaklah bernilai apa-apa hidup kita ini jika yang dikenal,dicinta dan ditakuti adalah selain dari ALLAH. Persoalannya belumkah lagi sampai masanya untuk kita kembali mengamalkan dan memperjuangkan hak Allah ini? Wallahualam

Saturday, September 12, 2009

NAJIB-UMNO Parti Islam


SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Utusan Malaysia 11 Sept. 2009


Nah! kini faktor Islam telah pun menjadi faktor penting dalam dunia politik semasa Malaysia. Umum mengetahui bahwasanya DS Najib bukanlah berkelulusan agama dan lebih-lebih lagi tidak mempunyai latarbelakang agama yang kukuh seperti pemimpin-pemimpin didalam Pas. Apakah agaknya yang mendorong beliau untuk berkata dan membuat kenyataan sedemikian yang UMNO adalah parti Islam? Apakah ini hanyalah merupakan retorik kosong demi untuk mengambil hati umat Islam di Malaysia? Jika Ya,apakah relevannya,sehingga memaksa beliau bertindak demikian. Tegasnya faktor Islam bukan sahaja relevan malah semakin relevan dalam pencaturan politik Malaysia dulu,kini dan selamanya. Islam menjadi pertimbangan utama buat para pengundi Melayu dan bukan Melayu dalam menentukan kepimpinan. Di saat suasana politik yang belum stabil kini,kita telah dihidangkan pula dengan satu proses demokrasi yang baru iaitu PRK Dun Bagan Pinang walaupun proses PRK Dun Permatang Pasir baru sahaja selesai. Saya merasakan proses pilihanraya kali ini kemungkinan membawa banyak isu-isu hangat yang perlu diselesaikan oleh BN sendiri.

Diketika saat rumah tangga BN yang berkecamuk antara satu sama lain terutama dengan karenah dan tingkah laku pemimpin-pemimpin utama dari kompenen BN sendiri iaitu MCA dan MIC. Tentu ianya tidak dapat tidak akan meninggalkan impak yang bukan sedikit buat BN pada keseluruhannya,terutama sekali pada pemimpin utama BN sendiri iaitu DS Najib.Saat dan ketika ini kepimpinan DS Najib benar-benar teruji.apakah beliau mampu untuk menyelesaikan kemelut dalaman ini? Jika gagal,pasti akan da pihak yang akan mengaut untung dari itu.

BN pada tahun 2004,mendapat kemenangan yang amat besar melebihi 2/3 apabila gagasan Islam Hadhari dipopularkan. Umat Islam di Malaysia merasa sangat tertarik dengan gagasan Islam UMNO ketika itu,berbanding dengan gagasan Islam tajaan Pas.Ditambah pula dengan keterampilan Perdana Menteri ketika itu yang dilihat sebagai pemimpin Islam yang berwibawa.

Tetapi keadaan berubah arah hampir secara drastik pada 2008,apabila orang melayu mula kecewa bila wadah Islam Hadhari semacam kosong tanpa pengisian. Orang melayu yang mengharapkan pembangunan fizikal dan nilai-nilai Islam dibangunkan secara bersepadu mula kecewa.Harapan untuk melihat pembangunan fizikal dan Islam dilaksanakan secara bersepadu tidak kesampaian,rakyat yang kecewa berpatah semula menyokong Pas.

Kemuncak dari itu mengakibatkan pada tahun 2008, BN kalah teruk walaupun masih kekal sebagai pemerintah. Gagasan Islam Hadhari tinggal kenangan dan yang lebih parah dari itu pimpinan UMNO Tun Abdullah Ahmad Badawi diserang,dipersalahkan,dimalukan bukan oleh pengundi-pengundi tetapi oleh ahli UMNO sendiri,hingga memaksa beliau meletakkan jawatan.

Tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan disini ialah, Pas sebuah parti Islam yang dianggap Ultra Islam selama ini tiba-tiba mendapat tempat hasil daripada perubahan berani yang UMNO telah lakukan dengan mengistytiharkan Islam sebagai motto perjuangan mereka. Lembu punya susu,sapi dapat nama. Pas yang selama ini dianggap sebagai Parti Ekstrim Islam telah bertukar wajah dan mula memberi ruang yang luas untuk bukan Islam mendekati mereka. Sehinggakan ada dikalangan calon bukan Islam bertanding menggunakan tiket Pas. Slogan Negara Islam telah bertukar menjadi Negara Berkebajikan!

Kesan daripada pendekatan politik berlabel Islam ini bukan sedikit. Impaknya juga dirasai oleh rakan-rakan pakatan Pas yang lain,iaitu DAP dan PKR. PKR dengan diketuai oleh DS Anwar memang telah pun lama sinonim dengan imej Islam beliau. Malah DAP sendiri sudah mula berani menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam ceramah-ceramah mereka. Malah sudah ada bahagian-bahagian DAP yang menonjolkan orang Islam sebagai Ketua Bahagian mereka. Hilang sudah bisa Karpal Singh yang telah berkata "Langkah mayat saya jika ingin tegakkan Negara Islam di Malaysia". Inilah kerja Tuhan! Bila-bila masa sahaja Tuhan berhak bertindak untuk memuliakan agamanya.

Persoalannya sekarang,kenapa orang UMNO masih teragak-agak untuk membuat perubahan dan pendekatan Islam yang lebih agresif berbanding parti lawan. UMNO perlu sedar bahwasanya orang Melayu-Islam kini inginkan sesuatu yang lebih advance selaras dengan perkembangan dan cabaran mutakhir. Bangsa Melayu inginkan pakej "2 in 1"-pembangunan dan kerohanian bersepadu - memelihara nilai teras (agama),jati diri (bangsa) tanpa mengorbankan keselesaan hidup yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.

Kriteria penting ialah UMNO mesti membina keperibadian,karektor dan etika yang lebih murni berteraskan ajaran Islam.
Tegasnya UMNO mesti dilihat dan diyakini- to be seen and to be belived - sebagai wadah "Mukmin Profesional". Insya Allah.

Friday, September 11, 2009

Lailatul Qadar



Hari ini adalah merupakan hari yg ke 21 umat Islam diseluruh dunia telah berpuasa. Bila dikenang semula terasa begitu cepat masa telah berlalu. Tetapi masa yang lalu tetap akan pergi dan tak kan bisa untuk diulangi semula. Berbaki hanya 9 hari sahaja untuk ramadhan meninggalkan kita. Sinonimnya dihari-hari terakhir ini Allah telah menyediakan sesuatu yang istimewa buat Umat Islam yaitu Malam Lailatul Qadar,malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Saya masih ingat ketika kecil dahulu,orang tua dikampung sering membayangkan yang malam Lalitul Qadar ini adalah malam yang mana barangsiapa dapat bertemu,semua permintaan mereka akan dikabulkan oleh Allah. Waktu itu fikiran saya pantas dan cepat beranggapan apakah agaknya yang akan saya minta jika dapat bertemu malam ini. Tentunya banyak permintaan yang ingin diminta tika itu.

Mungkin tidak perlulah diulas apakah keistimewaan malam ini,kerana umum dari kita telah pun mengetahuinya. Apa yang ingin saya fokuskan disini ialah apakah kesannya dalam kehidupan seharian kita jika memperolehinya? Inilah yang lebih utama!

Mungkinkah semangat dan kecintaan kita dalam menghidupkan malam akan bertambah selepas ramadhan ini,jika pun tidak amalan ini dapat dilaksanakan dengan istiqamah? Ianya akan payah dan terseksa bagi mereka yang beramal kerana fadhilat semata-mata. Tetapi bagi mereka yang selama 11 bulan yang lalu telah pun mula beramal dan istiqamah menghidupkan malam mungkin tidak akan terasa apa-apa.

Dan seperkara lagi yang lebih penting dan utama dari itu semua ialah,adakah amalan malam yang dilakukan telah membuahkan hasil. Membina peribadi berakhlak mulia,kuat dan gigih dalam menjalankan aktiviti seharian. Sehingga dapat melahirkan muslim yang berjiwa besar. Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan bersama...