Saturday, August 15, 2009

Sahabatku Asri

Pagi 13hb Ogos,entah kenapa pagi itu hati saya terasa bagai malas sungguh hendak keluar rumah. Kebiasannya saya dalam pukul 8 pagi dah pun bersiap untuk pergi ke pejabat. Sedang leka buat kerja dari rumah tiba-tiba saya terima panggilan saudara Ramli daripada Kuching,Sarawak yang mengatakan Asri Ibrahim telah tiada..saya terpaku dan sedu sebentar.

Waktu itu menunjukkan jam 11.35pagi dan mengikut maklumat awal beliau telah pun meninggal dunia pada jam 11.30 yakni 5 minit sebelum itu. Saya terus bergegas untuk pergi ke Hospital Pantai,Kuala Lumpur dengan ditemani oleh saudara Amran & Zul Fadzli (Raihan).

Alhamdulillah saya berpeluang melihat wajahnya buat kali terakhir. Dan sejuk hati bila melihat beliau pergi dalam keadaan tenang dengan wajah yang berseri. Ketika itu kelihatan ramai teman-teman yang mula berdatangan untuk melihat juga. Terasa bahwa beliau sangat disenangi oleh semua manusia yang pernah mengenalinya.

Ingatan saya terus menerapa pada ketika era awal 90an dulu. Saya masih teringat ketika itu saya giat dan aktif dengan kumpulan The Zikr. Beliau pula dah lama aktif dengan kumpulannya sendiri yang dikenali Nada Murni. Kami pernah merakamkan video klip bersama-sama yang kalau saya tidak silap "Penawar Hati". Dan saya bersama Nazrey Johani mendendangkan lagu "Al-Hijrah". Yang kerananya kami mula dikenali ramai dikalangan jemaah Islam yang lain dek kerana video klip tersebut.

Beliau saya lihat tidak pernah kelihatan letih dan ternyata komited dengan tugas yang diberikan padanya. Senyuman sentiasa menjadi hiasan dibibirnya walau dimana dia berada. Bicaranya sopan santun dan lemah lembut. Saya bukanlah terlalu rapat dengan beliau,tetapi sekali sekala berjumpa terasa kemesraannya.

Hinggalah bila beliau menubuhkan kumpulan Rabbani dan The Zikr telah ditukarkan kepada Raihan kami masih sentiasa bertemu dalam majlis-majlis rasmi ataupun tidak rasmi. Tetapi,apa yang membanggakan pada saya,walaupun beliau telah dikenali ramai secara komersial berbanding ketika era 90an dulu,yang mana nasyid hanya sekadar didendangkan dimajlis kawin ahli dan majlis usrah tarbiah,tetapi saya melihat beliau tetap sama seperti dulu. Dan saya yakin beliau memang ikhlas dengan perjuangannya. Dan itulah salah satu kekuatan kepada sahabat-sahabat Rabbani yang lain.

Walaupun kumpulan Raihan sendiri telah mengalami gelombang Tsunami mereka,tetapi Asri dan teman-temannya masih tetap bersatu dan berkasih sayang sesama mereka. Asri lah tunggak kekuatan mereka. Semangat juang yang ditunjukan beliau,dedikasi beliau saling tak tumpah seperti semangat yang ditunjukkan oleh Arwah Zaire(Raihan). Kedua-dua mereka adalah ikon nasyid yang perlu dicontohi oleh mana-mana kumpulan yang ingin memperjuangkan irama nasyid dipersada seni.

Pesanan saya kepada sahabat-sahabat Rabbani teruskanlah perjuangan Asri ini,jangalah kalian berputus asa dan hilang arah bila beliau telah tiada. Ingatlah bahwa perjuangan untuk menegakkan dakwah melalui wadah nasyid ini akan tetap subur khususnya di bumi Malaysia.



Friday, July 3, 2009

Iktibar dari Michael Jackson


APABILA Raja Pop Dunia, Michael Jackson meninggal dunia pada 26 Jun 2009, dunia meratapi pemergian manusia luar biasa ini. Beliau meninggalkan segala kemewahan dunia pada usia 50 tahun dengan penuh tanda tanya selepas disahkan terkena serangan jantung di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Begitulah ketentuan Illahi setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Dan kematian bukanlah bermakna yang kehidupan telah berakhir,tetapi sebaliknya adalah permulaan kehidupan. Kerana setiap manusia yang hidup di dunia hakikatnya mereka mati sehinggalah mereka dipanggil Allah.

Michael Jackson atau nama Islamnya Mikaeel,adalah merupakan salah seorang hamba Allah yang telah hidup dizaman ini yang punyai watak,legasi,peribadi yang sangat berbeza dengan hamba Allah yang lain. Dengan keistimewaan luar biasa yang Allah anugerahkan padanya,beliau muncul menjadi salah seorang yang amat berpengaruh di dunia moden ini melalui medium muzik.

Sedari kecil beliau telah dididik dan didoktrin untuk menjadi seorang penghibur. Dan beliau berjaya! Kejayaan beliau diiktiraf oleh dunia. Dari manusia sekecil2nya hinggalah yang tua semua meminatinya. Muzik yang telah dibawanya berjaya menerobos sempadan dunia,tidak kira apa fahaman atau ideologi yang dianuti mereka. Semua sepakat menerima dan mengiktiraf beliau sebagai ikon muzik pop.Sehingga digelar "King of Pop".

Kehadiran beliau telah berjaya menyatukan umat manusia walaupun cuma bersifat sementara. Dimana saja beliau berada peminat-peminatnya akan menjerit tidak kurang juga yang histeria. Begitulah hebatnya manusia yang lebih dikenali sebagai "Jacko" ini.

Hidupnya dikelilingi dengan kemewahan dan kemahsyuran yang menjadi idaman setiap manusia. Apa saja yang yang diingini tidak akan ada siapa yang mampu menghalang. Hingga memdorong beliau membeli apa saja yang dia mahu tanpa memikirkan samada benda itu penting,perlu @ tidak.

Tetapi,rupa-rupanya semua itu hanyalah permainan media dan juga eksplotasi berlebihan dari pihak Michael sendiri. Realitinya hidup MJ diselubungi dengan kesunyian dan kesepian. Tidak ada siapa yang dapat membantunya walaupun keluarga terdekat beliau.Beliau terperangkap pada bayangan sendiri selama berpuluh tahun lamanya. Sehingga mendorong untuk dia melakukan sesuatu yang agak ekstrem pada kita dengan membuat berpuluh-puluh pembedahan kosmetik hanya semata-mata ingin kekal cantik dan bergaya. Yang akhirnya menghasilkan impak yang bukan sedikit pada tubuh badan beliau malah ianya juga menambah parah serta sakit jiwa beliau.

Sekian lama,MJ bergantung pada ubat-ubatan penahan sakit yang terdiri daripada bahan kimia beracun,demi untuk menenangkan beliau. Yang akhirnya beliau telah berhutang bukan sedikit hanya semata untuk menanggung kos perubatan tersebut. Pun begitu beliau masih tidak menemui ketenangan tersebut.

Hinggalah pada akhir 2008, Michael Jackson telah diberi hidayah oleh Allah. Beliau masuk Islam secara rasminya dan dikenali sebagai Mikaeel. Akhir hayatnya beliau mendapat jawapan apa yang dicari beliau selama ini. Yaitu kembali kepada Allah yang Esa,menjadi hambanya. Tetapi tempoh tidak sampai setahun untuk mendalami agama Allah ini beliau telah dipanggil oleh Allah. Untuk bertemu kepada PenciptaNya. Mudah-mudahan roh beliau akan ditempatkan dikalangan hamba-hamba yang beriman. Al-Fatihah buat Allahyarham Mikaeel...


Thursday, April 2, 2009


Hari ini secara rasminya Malaysia telah pun memiliki seorang lagi Perdana Menteri yang baru. Sekaligus Perdana Menteri yang kelima akan beransur-ansur hilang dari ingatan kita. Saya merasa terpanggil untuk menyatakan sesuatu didalam blog ini mengenai Pak Lah yang saya kenali. Mulai hari ini juga Pak Lah seperti yg dijangka, telah pun bergelar "TUN". Tetapi saya yakin dan percaya walau apapun gelaran yg diberikan kepada beliau,peribadinya tetap sama dan tidak akan berubah.

Saya mengenali beliau lebih dekat,sejak mengikuti saudara sms,rakan blog yg mewakili muaalaf Sabah,sekaligus saya banyak mengenali beliau melalui pengalaman dan pandangan saudara sms sendiri. Tetapi apa yang saya lihat Pak Lah punya peribadi yang sangat menyentuh diri saya.

Belum pernah saya melihat seorang Perdana Menteri yang begitu merendah diri,boleh berbicara dan mendengar apa saja yang hendak disampaikan oleh rakyat dengan tenang. Tiada langsung kelihatan sifat kebangsawanan beliau. Komitmen beliau untuk menyatupadukan orang melayu tidak pernah lekang dari minda beliau.

Saya sendiri secara peribadi,pernah terlibat didalam usaha-usaha menyatupadukan orang melayu ini dengan mewakili beliau secara tidak langsung. Sifat kebergantungan beliau kepada Allah sangat tebal. Walaupun dikiri kanan depan belakang beliau,musuh-musuhnya tidak pernah berhenti untuk menikam beliau,tetapi beliau tetap yakin dan percaya dengan ketentuan Ilahi. Oleh itu kita dapat melihat dari riak wajahnya langsung tidak mengambarkan keresahan. Beliau kan sentiasa tetap tersenyum.

Sebagai seorang yang sangat komited dengan perjuangan Islam, saya merasakan Pak Lah banyak membantu didalam menggalakan lagi usaha-usaha dakwah ini. Tetapi sayangnya diketika era beliau,badan-badan dakwah yang ada seolah-olah kehilangan idea dan buntu untuk menyambut apatah lagi menggunakan peluang yang ada,dan ada yang lebih malang memandang prejudis dengan Islam Hadhari yang beliau lagangkan.

Walhal diketika era beliaulah sepatutnya badan dakwah samaada rasmi ataupun bernaung dibawah NGO menggunakan peluang itu untuk menyebarkan dan mengimarahkan aktiviti agama dengan jayanya. Tetapi semua ini tidak berlaku.

Kini Pak Lah telah pun meninggalkan kepimpinan negara ini secara rasmi pada hari ini. Tiada lagi kata-kata prejudis yang akan berlegar disekiling beliau. Beliau meninggalkan kepimpinan ini dengan hati yang tenang dan sabar. Walaupun banyak lagi kerja-kerja yang masih tidak selesai tetapi apa kan daya,sudah begitu kehendak takdir.

Apa yang penting,adakah idea dan saranan beliau selama ini akan dapat disambung oleh pengganti beliau. Sama-samalah kita melihatnya nanti. Saya tidak dapat menggambarkan hati dan perasaan saya kala ini. Sedih rasanya untuk berpisah dengan beliau. Sudah pasti saya akan merindui senyuman manis wajah beliau dan lemah lembut bicaranya.

Selamat Jalan Pak Lah...selamat bertugas Najib

Wednesday, April 1, 2009

April Fool

1 Apr 2009

Hari ini jika mengikut kebiasaanya adalah dikenali sebagai April Fool,yang mana akan berlaku banyak perisitwa "mengena dan dikena". Dalam kehidupan manusia di abad ini,peristiwa begini sering dan banyak berlaku.Ianya akan menimbulkan banyak masalah dan krisis. Tetapi berbeza pada April Fool ini, mengikut kebiasaanya,tiada siapa yang akan marah kepada kita jika mengena dan yang dikena,kerana menganggap ianya hanya gurauan semata.

Minggu lepas kita telah menyaksikan pucuk pimpinan UMNO telah berubah pimpinan. Ramai golongan yang kalah dalam pemilihan tidak dapat menyembunyikan kekecewaan mereka selain hanya satu@dua orang sahaja yang kelihatan gentlemen. Tapi begitulah ketentuannya,hidup bagai roda pedati,sekali kita diatas tidak kurang juga yang jatuh kebawah.

Mengikut kebiasannya,bila seorang pemimpin yang naik melalui undi,kemudian jatuh juga kerana undi,jarang yang dikenali,apatah untuk dihormati. Pengaruh telah tiada,kuasa pun hilang,inilah mimpi ngeri yang terpaksa dilalui oleh pemimpin politik.Kenapa begitu?Jawapannya mereka diangkat bukan melalui hati tetapi jari!

Jumaat ini,jika dizinkan Allah,Malaysia bakal menyaksikan seorang lagi Perdana Menteri Malaysia yang keenam dinobatkan. Sering kita lihat transformasi kuasa yang diamalkan di Malaysia biasanya berlaku dengan aman. Tetapi pada kali ini ramai pihak yang merasa cuak dengan peralihan kuasa kali ini. Ini kerana,bakal Perdana Menteri ini akan membawa bersamanya seribu satu imej yang pada pandangan ramai tidak pernah ada pada bakal seseorang Perdana Menteri di Malaysia lagi.

Persoalannya apakah beliau nanti mampu membuktikan kepada seluruh Malaysia yang beliau boleh dan imej yang direka oleh musuh-musuh beliau dapat terhapus secara langsung. Sebagai rakyat Malaysia,saya mendoakan agar beliau berjaya! Tidak kurang juga cabaran dan liku-liku penting akan terpaksa beliau hadapi dimasa-masa yang mendatang ini,dan yang paling terdekat ini adakah BN dibawah kepimpinan beliau dapat menebus semula Dua Bukit dan Satu Batang sekaligus memastikan semua ini kembali kepangkuan BN semula.

Sunday, March 22, 2009


Esok bermulalah satu episod yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia. Kerana bermula esok semua mata akan tertumpu ke PWTC dimana berlangsungnya Persidangan UMNO yang membawa bersamanya episod panas,kontrovesi serta ketidakpuasan hati ahli-ahlinya.

Persidangan kali ini amat penting dan bermakna buat hampir 4 juta orang ahlinya,kerana pada persidangan kali ini dijangkakan UMNO bakal akan mendapat seorang Presiden,Timbalan Presiden,Naib Presiden dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru.

Tentulah akan banyak janji-janji muluk mahupun cadangan yang bernas,teguran yang menyakitkan telinga dan tidak kurang juga cemuhan yang menghina peribadi seseorang bakal akan berlegar-legar disepanjang persidangan itu nanti.

Sesungguhnya zaman telah berubah,dengan adanya saluran alternatif seperti internet,seharusnya semua ahli UMNO haruslah peka dengan situasi dan keadaan semasa. Mereka tidak lagi boleh bergantung semata-mata dengan input yang sedia ada. Mereka harus ada inisiatif untuk melakukan perubahan "dari dalam ke luar".

Ramai masyarakat berpandangan UMNO semakin tidak relevan lagi di Malaysia,walaupun mereka mempunyai majoriti yang terbesar dalam BN, sekaligus mengetuai kerajaan Malaysia sekarang. Kenapa ini berlaku?

Apakah UMNO akan mengalami nasib yang sama seperti Golkar di Indonesia,LDP di Jepun,Kongres di India,Koumintang di Taiwan. Semua parti-parti ini telah pun mengalami kemorosotan undi dan tidak lagi menjadi parti tunggak kepada negara mereka sendiri. Mereka telah hampir-hampir karam dan menjadi lipatan sejarah. Apakah UMNO ingin mengikut jejak langkah ini? Persoalan ini harus ditanya dan dijawab oleh bakal-bakal pemimpin UMNO yang akan dilantik nanti.

Oleh itu, GB ingin mencadangkan jika UMNO ingin terus relevan dan diterima,UMNO haruslah memliki MINDA PENYELAMAT UMNO iaitu buah fikiran yang mampu menyelesaikan permasalahan dan kemelut parti. MINDA PENYELAMAT UMNO adalah merupakan ubat dan resepi untuk menyelamatkan UMNO sekaligus meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan.

MINDA PENYELAMAT UMNO adalah ilmu,buah fikiran dan gagasan tajdid yang hebat dan luarbiasa sehingga mampu menyelesaikan semua permasalahan. Ahli UMNO haruslah bersedia dan dibawa kearah pemikiran yang disebut pemikiran Islam bukan pemikiran umat Islam. Sesungguhnya umat Islam sekarang sangat terkeliru dengan persoalan ini. Fikiran Islam itu ialah walau topik apa sama ada pendidikan,ekonomi,kebudayaan,kemasyarakatan,pentadbiran,perhubungan mahupun kemajuan mestilah bertunjang dan berteraskan dengan iman. Apabila bertunjangkan iman dan didisiplinkan dengan syariat Islam,insya Allah barulah semua itu akan jadi ibadah sekaligus menjadi bekalan buat kita bertemu dengan Allah kelak. Selamat bersidang!



Saturday, March 21, 2009

Perkasa Umat Melayu,kemana dan dari mana?



Dunia pada umumnya sekarang telah menghadapai krisis nilai yang teramat teruk,dimana sahaja kita pergi,akan terlihat pada pandangan mata kita betapa manusia telah terlalu jauh daripada tujuan dan asal kenapa mereka dijadikan. Hidup dengan dikelilingi oleh krisis dan tekanan menyebabkan nilai umur manusia sekarang sudah hampir-hampir tiada.

Begitu juga yang berlaku di tempat kita sekarang,bumi Malaysia yang tercinta,tidak terlepas daripada cengakaman krisis dan tekanan yang semakin hari semakin bertambah. Rata-rata dari kita amat sedar dan terlalu sedar dengan fenomena ini,tetapi bak kata pepatah melayu ala bisa,tegal biasa!


Lihatlah didepan mata kita,baik di TV,Radio,Internet dan suasana sekiling kita,semuanya yang ada sudah menunjukan seolah-olah kita sudah hilang punca bagaimana untuk menyelesaikannya.

Ada segolongan daripada kita melihat dan berkata,kita kena pertahankan kuasa dan hak keisitimewaan bangsa kita,barulah orang lain akan menghormati bangsa Melayu ini.Lalu mereka ini berjuang bersungguh untuk mempertahankan apa yang diyakini mereka,tak kurang juga segolongan daripada bangsa kita yang percaya dan yakin bahwasanya umat melayu kalau mahu berjaya dan dipandang mulia harus ada kuasa politik (politik will) Atau dengan kata lain survival bangsa kita harus selamanya bergantung dengan kuasa politik ini.

Begitupun dikalangan kelompok yang lain percaya umat melayu kalau ingin berjaya haruslah memiliki kepandaian dan kebolehan di dalam segala bidang supaya dengan itu kita akan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain.Dasar bumiputera,DEB adalah cetusan dan idea yang masih dipertahankan sehingga kini.Persoalannya apakah diantara pendapat dan pegangan yang telah kita sebutkan benar-benar boleh menjadi penyelamat kepada krisis nilai yang kita hadapi sekarang?

Percayalah,sudah sampai masanya untuk kita kembali kepada akar kita,kembali kepada basic kita,apa yang telah berlaku sekarang hanyalah merupakan buah @ pucuk daripada akar yang telah rosak.Bila akar telah rosak,kering kontang,tak bermaya maka buah yang terhasil pun tidak akan memberi apa-apa makna.Lebih-lebih lagi buah itu langsung tidak memberikan apa-apa kebaikan buat manusia.

Umat Melayu harus kembali dan berusaha bersungguh-sungguh membaiki diri sendiri dengan mencari jalan pulang yang sebenar. Kembali kepada penciptaNya. Kenali diri kamu,barulah kamu akan kenal Pencipta Kamu. Membaiki diri dengan menghias diri kita melalui jalan mujahadah Nafs untuk mendapat nilai jati diri sebenar.

Kenal Allah,kenal akhirat serta membesarkannya,ukhuwah dan persaudaraan dikalangan bangsa hendaklah dicetuskan dan dipupuk dari semasa hingga ke semasa. Iman & taqwa hendaklah diusahakan sungguh-sungguh mencapainya. ISO Rasulullah hendaklah menjadi target kita semua. Sesungguhnya umat melayu sudah terlalu lama untuk menanguh-nanguhkan agenda ini. Meriahkanlah bumi Allah ini dengan zikrullah dan selawat.Insya Allah kebahagiaan sebenar akan menjadi milik kita.

Tuesday, March 10, 2009

Bersatulah wahai pemimpin-pemimpinku



3 jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4:00 petang ini, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, dimana Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.

Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurui Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat Mudir Madrasah berkenaan. Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantika oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan.

Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmikan persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim. Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama. Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan hampir 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1:40 petang. Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud.

Semasa mendirikan solat Zohor kedua mereka duduk di saf pertama di mana Abdullah berada di sebelah kanan, Syeikh Mahmud manakala Anwar berada di sebelah kiri Syeikh Mahmud. Selepas solat Zohor, Abdullah diminta memberi ucapan ringkas begitu juga Anwar bagaimana pun Anwar tidak berucap. Dalam ucapannya Abdullah menjelaskan sesutau yang baik itu kalau didoakan ia akan menjadi kenyataan. Selepas selesai solat Zohor dan ucapan ringkas kelihatan Abdullah dan Anwar bersalaman dan masing-masing melemparkan senyum.

Pertemuan dan gelagat kedua pemimpin itu benar-benar mengejutkan para hadirin dan jemaah. Masing-masing tertanya-tanya dengan peristiwa berkenana kerana ianya dikatakan bukan dirancang oleh sesiapa tetapi mempamerkan keadaan yang sungguh menyenangkan orang ramai. Orang ramai begitu bangga dan puas dengan pertemuan kedua mereka yang dlihat sebagai bermusuhan selama ini.

“Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah, dan kita harap ianya jadi!” begitulah komen salah seorang ahlijawatankuasa Madrasah berkenaan enggan menjawab apa kedatangan kedua mereka sudah dirancang dan apakah yang dimaksudkan 'jadi' itu? Abdullah meninggalkan madrasah berkenaan jam 2:15 minit petang manakala Anwar jam 2:50 petang kedua-duanya dijangka menuju ke Parlimen untuk mendengar pembentangan bajet mini oleh Najib.


Jika benar apa yang saya terima melalui e-mail daripada seorang sahabat tadi,maka saya rasa sayalah orang yang paling gembira saat ini,kerana pada pada pandangan saya sudah sampai masanya untuk kita semua bersatu,tambahan pula dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang. Segala polemik hendaklah diselesaikan dengan segera. Kedua-dua pemimpin ini mempunyai asas agama yang kuat. Datang daripada Negeri dan budaya yang sama,sudah pasti ianya akan memberi banyak kelebihan.


Anwar dengan kepintaran kata,PR yang baik serta ditambah dengan pengaruh beliau sudah tentu boleh membantu kerajaan Pak Lah untuk menarik pelabur-pelabur terutama daripada Timur Tengah untuk datang melabur ke Malaysia secara agresif. Segala pengalaman yang ada pada beliau haruslah dicurahkan dan diguna pakai semula bukan kerana Pak Lah tetapi kerana Allah.


Pak Lah adalah seorang pemimpin yang paling sabar yang pernah saya kenali. Pemimpin yang paling tenang dan paling baik yang pernah lahir dikalangan UMNO,tetapi sayang kebaikan beliau tidak dihargai oleh orang-orang UMNO sendiri. Gagasan Islam Hadhari yang beliau perkenalkan langsung tidak difahami apatah lagi mahu diikuti oleh orang UMNO sendiri. Niat beliau untuk meng"Islamkan kembali UMNO tidak kesampaian. Anwar pernah mara dulu dengan gagasan "Islam Madani" pun lumpuh ditengah jalan. Kedua-dua pemimpin ini telah pun merasa bahangnya bila ingin kembali kepada Islam. Setiap yang baik pasti akan diuji oleh Allah,terpulanglah sejuah mana hambaNya mengambil iktibar daripada ujian-ujian tersebut disamping ingin mengetahui sejauh mana keimanan kita didalam menghadapinya. Kembalilah kepada basic! Kepada asas Iman dan Taqwa. Insya Allah Malaysia akan kembali menjadi cemerlang, gemilang,terbilang dalam menegakkan syiar Allah dan menjunjung hukum hakam Allah.