Sunday, September 13, 2009

UMNO bakal kalah teruk PR ke 13?



Sesuatu yang amat menarik untuk diambil perhatian mengenai pendapat terbaru yang telah dilontarkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir didalam blog beliau ialah mengenai masa depan UMNO. Bernas dan berani pada saya.Iktibar daripada kekalahan parti LDP di Jepun,secara jujurnya memang patut untuk diambil contoh oleh UMNO. Kekalahan UMNO didalam PRK secara berturut-turut mengambarkan tentang betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan UMNO dimasa kini.

Secara jujur juga saya melihat walaupun Pakatan Rakyat mempunyai banyak kelemahan tertentu,tetapi mereka bijak menanganinya. PR walaupun mempunyai dasar dan ideologi parti yang berlainan tetapi boleh duduk bersama menentang UMNO.Dan apa yg paling penting atas motto "Perjuangan untuk rakyat" mereka diterima baik oleh rakyat.

Persoalannya,kenapakah mereka menentang UMNO dan BN bersungguh2? Apakah dosa yang UMNO dan BN telah lakukan sehinggakan seolah-olah tidak ada lagi kebaikan yang ada pada UMNO dan BN di mata mereka. Sia-siakah selama ini apa yang UMNO dan BN telah perbuat untuk rakyat? tempoh 52 tahun mungkin lebih, memerintah bukanlah satu tempoh yang sekejap,mungkin telah terlalu lama sehinggakan rakyat merasakan mereka patut untuk membuat perubahan!

Secara peribadi saya mengatakan, rakyat Malaysia harus belajar menerima sebarang perubahan,tidak kira apa jua. Walaupun siapa pun pemerintah di Malaysia,selagi manusia tidak kenal,cinta dan takutkan Tuhan,selagi itu mereka tidak akan merasa puas,bersyukur dengan apa yang ada.

Manusia akan hidup terseksa,menderita sepanjang masa. Bertambah malang dari itu ideologi-ideologi barat menjadi pedoman hidup mereka. Hidup mereka makin sesat dan hilang arah. Bermula dari pemerintah,ulama,pemimpin masyarakat,ketua jabatan,ketua kampung dan ketua keluarga semuanya akan jadi kucar kacir.

Teringat akan hadis Nabi yang bermaksud; "Didalam diri manusia itu ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasadnya,jika rosak daging akan rosaklah jua seluruh jasadnya,ketahuilah oleh mu itulah hati."

Sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk membaiki hati-hati kita agar menjadi orang yang kenal,cinta dan takutkan Tuhan sepanjang masa. Kerana tidaklah bernilai apa-apa hidup kita ini jika yang dikenal,dicinta dan ditakuti adalah selain dari ALLAH. Persoalannya belumkah lagi sampai masanya untuk kita kembali mengamalkan dan memperjuangkan hak Allah ini? Wallahualam

Saturday, September 12, 2009

NAJIB-UMNO Parti Islam


SIK 10 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini. Utusan Malaysia 11 Sept. 2009


Nah! kini faktor Islam telah pun menjadi faktor penting dalam dunia politik semasa Malaysia. Umum mengetahui bahwasanya DS Najib bukanlah berkelulusan agama dan lebih-lebih lagi tidak mempunyai latarbelakang agama yang kukuh seperti pemimpin-pemimpin didalam Pas. Apakah agaknya yang mendorong beliau untuk berkata dan membuat kenyataan sedemikian yang UMNO adalah parti Islam? Apakah ini hanyalah merupakan retorik kosong demi untuk mengambil hati umat Islam di Malaysia? Jika Ya,apakah relevannya,sehingga memaksa beliau bertindak demikian. Tegasnya faktor Islam bukan sahaja relevan malah semakin relevan dalam pencaturan politik Malaysia dulu,kini dan selamanya. Islam menjadi pertimbangan utama buat para pengundi Melayu dan bukan Melayu dalam menentukan kepimpinan. Di saat suasana politik yang belum stabil kini,kita telah dihidangkan pula dengan satu proses demokrasi yang baru iaitu PRK Dun Bagan Pinang walaupun proses PRK Dun Permatang Pasir baru sahaja selesai. Saya merasakan proses pilihanraya kali ini kemungkinan membawa banyak isu-isu hangat yang perlu diselesaikan oleh BN sendiri.

Diketika saat rumah tangga BN yang berkecamuk antara satu sama lain terutama dengan karenah dan tingkah laku pemimpin-pemimpin utama dari kompenen BN sendiri iaitu MCA dan MIC. Tentu ianya tidak dapat tidak akan meninggalkan impak yang bukan sedikit buat BN pada keseluruhannya,terutama sekali pada pemimpin utama BN sendiri iaitu DS Najib.Saat dan ketika ini kepimpinan DS Najib benar-benar teruji.apakah beliau mampu untuk menyelesaikan kemelut dalaman ini? Jika gagal,pasti akan da pihak yang akan mengaut untung dari itu.

BN pada tahun 2004,mendapat kemenangan yang amat besar melebihi 2/3 apabila gagasan Islam Hadhari dipopularkan. Umat Islam di Malaysia merasa sangat tertarik dengan gagasan Islam UMNO ketika itu,berbanding dengan gagasan Islam tajaan Pas.Ditambah pula dengan keterampilan Perdana Menteri ketika itu yang dilihat sebagai pemimpin Islam yang berwibawa.

Tetapi keadaan berubah arah hampir secara drastik pada 2008,apabila orang melayu mula kecewa bila wadah Islam Hadhari semacam kosong tanpa pengisian. Orang melayu yang mengharapkan pembangunan fizikal dan nilai-nilai Islam dibangunkan secara bersepadu mula kecewa.Harapan untuk melihat pembangunan fizikal dan Islam dilaksanakan secara bersepadu tidak kesampaian,rakyat yang kecewa berpatah semula menyokong Pas.

Kemuncak dari itu mengakibatkan pada tahun 2008, BN kalah teruk walaupun masih kekal sebagai pemerintah. Gagasan Islam Hadhari tinggal kenangan dan yang lebih parah dari itu pimpinan UMNO Tun Abdullah Ahmad Badawi diserang,dipersalahkan,dimalukan bukan oleh pengundi-pengundi tetapi oleh ahli UMNO sendiri,hingga memaksa beliau meletakkan jawatan.

Tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan disini ialah, Pas sebuah parti Islam yang dianggap Ultra Islam selama ini tiba-tiba mendapat tempat hasil daripada perubahan berani yang UMNO telah lakukan dengan mengistytiharkan Islam sebagai motto perjuangan mereka. Lembu punya susu,sapi dapat nama. Pas yang selama ini dianggap sebagai Parti Ekstrim Islam telah bertukar wajah dan mula memberi ruang yang luas untuk bukan Islam mendekati mereka. Sehinggakan ada dikalangan calon bukan Islam bertanding menggunakan tiket Pas. Slogan Negara Islam telah bertukar menjadi Negara Berkebajikan!

Kesan daripada pendekatan politik berlabel Islam ini bukan sedikit. Impaknya juga dirasai oleh rakan-rakan pakatan Pas yang lain,iaitu DAP dan PKR. PKR dengan diketuai oleh DS Anwar memang telah pun lama sinonim dengan imej Islam beliau. Malah DAP sendiri sudah mula berani menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam ceramah-ceramah mereka. Malah sudah ada bahagian-bahagian DAP yang menonjolkan orang Islam sebagai Ketua Bahagian mereka. Hilang sudah bisa Karpal Singh yang telah berkata "Langkah mayat saya jika ingin tegakkan Negara Islam di Malaysia". Inilah kerja Tuhan! Bila-bila masa sahaja Tuhan berhak bertindak untuk memuliakan agamanya.

Persoalannya sekarang,kenapa orang UMNO masih teragak-agak untuk membuat perubahan dan pendekatan Islam yang lebih agresif berbanding parti lawan. UMNO perlu sedar bahwasanya orang Melayu-Islam kini inginkan sesuatu yang lebih advance selaras dengan perkembangan dan cabaran mutakhir. Bangsa Melayu inginkan pakej "2 in 1"-pembangunan dan kerohanian bersepadu - memelihara nilai teras (agama),jati diri (bangsa) tanpa mengorbankan keselesaan hidup yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.

Kriteria penting ialah UMNO mesti membina keperibadian,karektor dan etika yang lebih murni berteraskan ajaran Islam.
Tegasnya UMNO mesti dilihat dan diyakini- to be seen and to be belived - sebagai wadah "Mukmin Profesional". Insya Allah.

Friday, September 11, 2009

Lailatul Qadar



Hari ini adalah merupakan hari yg ke 21 umat Islam diseluruh dunia telah berpuasa. Bila dikenang semula terasa begitu cepat masa telah berlalu. Tetapi masa yang lalu tetap akan pergi dan tak kan bisa untuk diulangi semula. Berbaki hanya 9 hari sahaja untuk ramadhan meninggalkan kita. Sinonimnya dihari-hari terakhir ini Allah telah menyediakan sesuatu yang istimewa buat Umat Islam yaitu Malam Lailatul Qadar,malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Saya masih ingat ketika kecil dahulu,orang tua dikampung sering membayangkan yang malam Lalitul Qadar ini adalah malam yang mana barangsiapa dapat bertemu,semua permintaan mereka akan dikabulkan oleh Allah. Waktu itu fikiran saya pantas dan cepat beranggapan apakah agaknya yang akan saya minta jika dapat bertemu malam ini. Tentunya banyak permintaan yang ingin diminta tika itu.

Mungkin tidak perlulah diulas apakah keistimewaan malam ini,kerana umum dari kita telah pun mengetahuinya. Apa yang ingin saya fokuskan disini ialah apakah kesannya dalam kehidupan seharian kita jika memperolehinya? Inilah yang lebih utama!

Mungkinkah semangat dan kecintaan kita dalam menghidupkan malam akan bertambah selepas ramadhan ini,jika pun tidak amalan ini dapat dilaksanakan dengan istiqamah? Ianya akan payah dan terseksa bagi mereka yang beramal kerana fadhilat semata-mata. Tetapi bagi mereka yang selama 11 bulan yang lalu telah pun mula beramal dan istiqamah menghidupkan malam mungkin tidak akan terasa apa-apa.

Dan seperkara lagi yang lebih penting dan utama dari itu semua ialah,adakah amalan malam yang dilakukan telah membuahkan hasil. Membina peribadi berakhlak mulia,kuat dan gigih dalam menjalankan aktiviti seharian. Sehingga dapat melahirkan muslim yang berjiwa besar. Sama-samalah kita fikirkan dan renungkan bersama...

Saturday, August 15, 2009

Sahabatku Asri

Pagi 13hb Ogos,entah kenapa pagi itu hati saya terasa bagai malas sungguh hendak keluar rumah. Kebiasannya saya dalam pukul 8 pagi dah pun bersiap untuk pergi ke pejabat. Sedang leka buat kerja dari rumah tiba-tiba saya terima panggilan saudara Ramli daripada Kuching,Sarawak yang mengatakan Asri Ibrahim telah tiada..saya terpaku dan sedu sebentar.

Waktu itu menunjukkan jam 11.35pagi dan mengikut maklumat awal beliau telah pun meninggal dunia pada jam 11.30 yakni 5 minit sebelum itu. Saya terus bergegas untuk pergi ke Hospital Pantai,Kuala Lumpur dengan ditemani oleh saudara Amran & Zul Fadzli (Raihan).

Alhamdulillah saya berpeluang melihat wajahnya buat kali terakhir. Dan sejuk hati bila melihat beliau pergi dalam keadaan tenang dengan wajah yang berseri. Ketika itu kelihatan ramai teman-teman yang mula berdatangan untuk melihat juga. Terasa bahwa beliau sangat disenangi oleh semua manusia yang pernah mengenalinya.

Ingatan saya terus menerapa pada ketika era awal 90an dulu. Saya masih teringat ketika itu saya giat dan aktif dengan kumpulan The Zikr. Beliau pula dah lama aktif dengan kumpulannya sendiri yang dikenali Nada Murni. Kami pernah merakamkan video klip bersama-sama yang kalau saya tidak silap "Penawar Hati". Dan saya bersama Nazrey Johani mendendangkan lagu "Al-Hijrah". Yang kerananya kami mula dikenali ramai dikalangan jemaah Islam yang lain dek kerana video klip tersebut.

Beliau saya lihat tidak pernah kelihatan letih dan ternyata komited dengan tugas yang diberikan padanya. Senyuman sentiasa menjadi hiasan dibibirnya walau dimana dia berada. Bicaranya sopan santun dan lemah lembut. Saya bukanlah terlalu rapat dengan beliau,tetapi sekali sekala berjumpa terasa kemesraannya.

Hinggalah bila beliau menubuhkan kumpulan Rabbani dan The Zikr telah ditukarkan kepada Raihan kami masih sentiasa bertemu dalam majlis-majlis rasmi ataupun tidak rasmi. Tetapi,apa yang membanggakan pada saya,walaupun beliau telah dikenali ramai secara komersial berbanding ketika era 90an dulu,yang mana nasyid hanya sekadar didendangkan dimajlis kawin ahli dan majlis usrah tarbiah,tetapi saya melihat beliau tetap sama seperti dulu. Dan saya yakin beliau memang ikhlas dengan perjuangannya. Dan itulah salah satu kekuatan kepada sahabat-sahabat Rabbani yang lain.

Walaupun kumpulan Raihan sendiri telah mengalami gelombang Tsunami mereka,tetapi Asri dan teman-temannya masih tetap bersatu dan berkasih sayang sesama mereka. Asri lah tunggak kekuatan mereka. Semangat juang yang ditunjukan beliau,dedikasi beliau saling tak tumpah seperti semangat yang ditunjukkan oleh Arwah Zaire(Raihan). Kedua-dua mereka adalah ikon nasyid yang perlu dicontohi oleh mana-mana kumpulan yang ingin memperjuangkan irama nasyid dipersada seni.

Pesanan saya kepada sahabat-sahabat Rabbani teruskanlah perjuangan Asri ini,jangalah kalian berputus asa dan hilang arah bila beliau telah tiada. Ingatlah bahwa perjuangan untuk menegakkan dakwah melalui wadah nasyid ini akan tetap subur khususnya di bumi Malaysia.



Friday, July 3, 2009

Iktibar dari Michael Jackson


APABILA Raja Pop Dunia, Michael Jackson meninggal dunia pada 26 Jun 2009, dunia meratapi pemergian manusia luar biasa ini. Beliau meninggalkan segala kemewahan dunia pada usia 50 tahun dengan penuh tanda tanya selepas disahkan terkena serangan jantung di kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Begitulah ketentuan Illahi setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Dan kematian bukanlah bermakna yang kehidupan telah berakhir,tetapi sebaliknya adalah permulaan kehidupan. Kerana setiap manusia yang hidup di dunia hakikatnya mereka mati sehinggalah mereka dipanggil Allah.

Michael Jackson atau nama Islamnya Mikaeel,adalah merupakan salah seorang hamba Allah yang telah hidup dizaman ini yang punyai watak,legasi,peribadi yang sangat berbeza dengan hamba Allah yang lain. Dengan keistimewaan luar biasa yang Allah anugerahkan padanya,beliau muncul menjadi salah seorang yang amat berpengaruh di dunia moden ini melalui medium muzik.

Sedari kecil beliau telah dididik dan didoktrin untuk menjadi seorang penghibur. Dan beliau berjaya! Kejayaan beliau diiktiraf oleh dunia. Dari manusia sekecil2nya hinggalah yang tua semua meminatinya. Muzik yang telah dibawanya berjaya menerobos sempadan dunia,tidak kira apa fahaman atau ideologi yang dianuti mereka. Semua sepakat menerima dan mengiktiraf beliau sebagai ikon muzik pop.Sehingga digelar "King of Pop".

Kehadiran beliau telah berjaya menyatukan umat manusia walaupun cuma bersifat sementara. Dimana saja beliau berada peminat-peminatnya akan menjerit tidak kurang juga yang histeria. Begitulah hebatnya manusia yang lebih dikenali sebagai "Jacko" ini.

Hidupnya dikelilingi dengan kemewahan dan kemahsyuran yang menjadi idaman setiap manusia. Apa saja yang yang diingini tidak akan ada siapa yang mampu menghalang. Hingga memdorong beliau membeli apa saja yang dia mahu tanpa memikirkan samada benda itu penting,perlu @ tidak.

Tetapi,rupa-rupanya semua itu hanyalah permainan media dan juga eksplotasi berlebihan dari pihak Michael sendiri. Realitinya hidup MJ diselubungi dengan kesunyian dan kesepian. Tidak ada siapa yang dapat membantunya walaupun keluarga terdekat beliau.Beliau terperangkap pada bayangan sendiri selama berpuluh tahun lamanya. Sehingga mendorong untuk dia melakukan sesuatu yang agak ekstrem pada kita dengan membuat berpuluh-puluh pembedahan kosmetik hanya semata-mata ingin kekal cantik dan bergaya. Yang akhirnya menghasilkan impak yang bukan sedikit pada tubuh badan beliau malah ianya juga menambah parah serta sakit jiwa beliau.

Sekian lama,MJ bergantung pada ubat-ubatan penahan sakit yang terdiri daripada bahan kimia beracun,demi untuk menenangkan beliau. Yang akhirnya beliau telah berhutang bukan sedikit hanya semata untuk menanggung kos perubatan tersebut. Pun begitu beliau masih tidak menemui ketenangan tersebut.

Hinggalah pada akhir 2008, Michael Jackson telah diberi hidayah oleh Allah. Beliau masuk Islam secara rasminya dan dikenali sebagai Mikaeel. Akhir hayatnya beliau mendapat jawapan apa yang dicari beliau selama ini. Yaitu kembali kepada Allah yang Esa,menjadi hambanya. Tetapi tempoh tidak sampai setahun untuk mendalami agama Allah ini beliau telah dipanggil oleh Allah. Untuk bertemu kepada PenciptaNya. Mudah-mudahan roh beliau akan ditempatkan dikalangan hamba-hamba yang beriman. Al-Fatihah buat Allahyarham Mikaeel...


Thursday, April 2, 2009


Hari ini secara rasminya Malaysia telah pun memiliki seorang lagi Perdana Menteri yang baru. Sekaligus Perdana Menteri yang kelima akan beransur-ansur hilang dari ingatan kita. Saya merasa terpanggil untuk menyatakan sesuatu didalam blog ini mengenai Pak Lah yang saya kenali. Mulai hari ini juga Pak Lah seperti yg dijangka, telah pun bergelar "TUN". Tetapi saya yakin dan percaya walau apapun gelaran yg diberikan kepada beliau,peribadinya tetap sama dan tidak akan berubah.

Saya mengenali beliau lebih dekat,sejak mengikuti saudara sms,rakan blog yg mewakili muaalaf Sabah,sekaligus saya banyak mengenali beliau melalui pengalaman dan pandangan saudara sms sendiri. Tetapi apa yang saya lihat Pak Lah punya peribadi yang sangat menyentuh diri saya.

Belum pernah saya melihat seorang Perdana Menteri yang begitu merendah diri,boleh berbicara dan mendengar apa saja yang hendak disampaikan oleh rakyat dengan tenang. Tiada langsung kelihatan sifat kebangsawanan beliau. Komitmen beliau untuk menyatupadukan orang melayu tidak pernah lekang dari minda beliau.

Saya sendiri secara peribadi,pernah terlibat didalam usaha-usaha menyatupadukan orang melayu ini dengan mewakili beliau secara tidak langsung. Sifat kebergantungan beliau kepada Allah sangat tebal. Walaupun dikiri kanan depan belakang beliau,musuh-musuhnya tidak pernah berhenti untuk menikam beliau,tetapi beliau tetap yakin dan percaya dengan ketentuan Ilahi. Oleh itu kita dapat melihat dari riak wajahnya langsung tidak mengambarkan keresahan. Beliau kan sentiasa tetap tersenyum.

Sebagai seorang yang sangat komited dengan perjuangan Islam, saya merasakan Pak Lah banyak membantu didalam menggalakan lagi usaha-usaha dakwah ini. Tetapi sayangnya diketika era beliau,badan-badan dakwah yang ada seolah-olah kehilangan idea dan buntu untuk menyambut apatah lagi menggunakan peluang yang ada,dan ada yang lebih malang memandang prejudis dengan Islam Hadhari yang beliau lagangkan.

Walhal diketika era beliaulah sepatutnya badan dakwah samaada rasmi ataupun bernaung dibawah NGO menggunakan peluang itu untuk menyebarkan dan mengimarahkan aktiviti agama dengan jayanya. Tetapi semua ini tidak berlaku.

Kini Pak Lah telah pun meninggalkan kepimpinan negara ini secara rasmi pada hari ini. Tiada lagi kata-kata prejudis yang akan berlegar disekiling beliau. Beliau meninggalkan kepimpinan ini dengan hati yang tenang dan sabar. Walaupun banyak lagi kerja-kerja yang masih tidak selesai tetapi apa kan daya,sudah begitu kehendak takdir.

Apa yang penting,adakah idea dan saranan beliau selama ini akan dapat disambung oleh pengganti beliau. Sama-samalah kita melihatnya nanti. Saya tidak dapat menggambarkan hati dan perasaan saya kala ini. Sedih rasanya untuk berpisah dengan beliau. Sudah pasti saya akan merindui senyuman manis wajah beliau dan lemah lembut bicaranya.

Selamat Jalan Pak Lah...selamat bertugas Najib

Wednesday, April 1, 2009

April Fool

1 Apr 2009

Hari ini jika mengikut kebiasaanya adalah dikenali sebagai April Fool,yang mana akan berlaku banyak perisitwa "mengena dan dikena". Dalam kehidupan manusia di abad ini,peristiwa begini sering dan banyak berlaku.Ianya akan menimbulkan banyak masalah dan krisis. Tetapi berbeza pada April Fool ini, mengikut kebiasaanya,tiada siapa yang akan marah kepada kita jika mengena dan yang dikena,kerana menganggap ianya hanya gurauan semata.

Minggu lepas kita telah menyaksikan pucuk pimpinan UMNO telah berubah pimpinan. Ramai golongan yang kalah dalam pemilihan tidak dapat menyembunyikan kekecewaan mereka selain hanya satu@dua orang sahaja yang kelihatan gentlemen. Tapi begitulah ketentuannya,hidup bagai roda pedati,sekali kita diatas tidak kurang juga yang jatuh kebawah.

Mengikut kebiasannya,bila seorang pemimpin yang naik melalui undi,kemudian jatuh juga kerana undi,jarang yang dikenali,apatah untuk dihormati. Pengaruh telah tiada,kuasa pun hilang,inilah mimpi ngeri yang terpaksa dilalui oleh pemimpin politik.Kenapa begitu?Jawapannya mereka diangkat bukan melalui hati tetapi jari!

Jumaat ini,jika dizinkan Allah,Malaysia bakal menyaksikan seorang lagi Perdana Menteri Malaysia yang keenam dinobatkan. Sering kita lihat transformasi kuasa yang diamalkan di Malaysia biasanya berlaku dengan aman. Tetapi pada kali ini ramai pihak yang merasa cuak dengan peralihan kuasa kali ini. Ini kerana,bakal Perdana Menteri ini akan membawa bersamanya seribu satu imej yang pada pandangan ramai tidak pernah ada pada bakal seseorang Perdana Menteri di Malaysia lagi.

Persoalannya apakah beliau nanti mampu membuktikan kepada seluruh Malaysia yang beliau boleh dan imej yang direka oleh musuh-musuh beliau dapat terhapus secara langsung. Sebagai rakyat Malaysia,saya mendoakan agar beliau berjaya! Tidak kurang juga cabaran dan liku-liku penting akan terpaksa beliau hadapi dimasa-masa yang mendatang ini,dan yang paling terdekat ini adakah BN dibawah kepimpinan beliau dapat menebus semula Dua Bukit dan Satu Batang sekaligus memastikan semua ini kembali kepangkuan BN semula.