Monday, April 16, 2012

Pemimpin "Recycle".

Ketika dan saat ini hampir setiap hari kita disogokkan dengan berita dan maklumat yang berkaitan dengan hal-hal politik dan masalah kepimpinan. Setiap hari juga kita akan terdedah dengan fenomena dan symptom meracun, merosak dan menghasut pemikiran agar kita membenci satu pihak dan memuji satu pihak yang lain.

Fenomena begini menjadi begitu lumrah dan akan bertambah meriah terutamanya ketika saat menjelang pilihanraya. Selama hampir setengah abad sejak orang melayu mula menerima tatacara dan amalan demokrasi dalam melahirkan pemimpin-pemimpin dikalangan mereka, maka bermula sejak dari itulah budaya dan cara hidup begini semacam menjadi satu perkara yang sudah tidak asing lagi bagi umat melayu sehingga menghilangkan jati diri dan akhlak Islamiah yang pernah tercatat dalam sejarah bahwasanya umat melayu adalah antara umat manusia paling beradab dan penuh tatasusila dirantau Asia sehingga menjadi daya penarik untuk manusia dari barat,timur malah juga negara sebesar China datang dan berdagang malah ada yang mengambil keputusan menahun di Tanah Melayu ketika itu.

Budaya caci maki dan membuka aib, fitnah memfitnah antara satu sama lain ini telah pun berada dikemuncaknya sejak akhir-akhir ini. Ianya akan bertambah jijik dan meloyakan pada saat dan ketika bermulanya sesi kempen pilihanraya nanti. Apakah kita sebagai umat melayu yang menjunjung tinggi nilai budi dan tatasusila warisan Islam yang telah dianuti sekian lama ini sanggup membiarkan ianya rosak dan musnah hanya kerana mahu menjunjung tinggi demokrasi warisan penjajah ini? Belum cukupkah lagi nilai-nilai demokrasi yang hampir menjadi anutan umat Islam saat ini merosak dan memecahbelahkan umat ini? Masih belum jelaskah lagi pada kita kesan dan akibat yang kita terima hasil menerima ajaran ini? Persoalan inilah yang seharusnya menjadi nilai dan isu utama buat pemimpin dan bakal pemimpin untuk saling berfikir dan mencari jalan pulang agar umat melayu ini dapat bertaut dan bersatu semula dan membina kegemilangan.

Ironinya di satu pihak yang ingin mempertahankan kuasa yang ada, mereka masih terlalu banyak beretorik tanpa mau memahami masalah akar umbi. Budaya boros dan bermewah-mewah yang menjadi anasir-anasir jahat masih menjadi cara hidup walaupun sedar akan implikasi yang bakal diterima mereka. Setiap hari satu demi satu keluhan dan kekecewaan mereka yang setia dan berkhidmat atas nama bangsa, agama dan negara pergi meninggalkan bahtera ini. Maka yang tinggal hanyalah mereka yang terlalu berkepentingan dan paling malang mereka telah kehilangan orang-orang yang boleh dikatakan sebagai asset dan serta menjadi daya penarik kepada rakyat untuk mendekati mereka. Mereka juga secara beransur-ansur kehilangan cendikiawan dan golongan pintar dalam kelompok mereka. Yang ada hanyalah sekelompok elits-elits yang berjaya hasil perjuangan mereka sejak tanah melayu merdeka.

Manakala disatu pihak yang lain pula, mereka bergabung tenaga,masa dan fikiran malah mungkin juga harta benda, berhempas pulas untuk meruntuh dan merampas kuasa yang sedia ada. Walaupun sedar mereka tidak akan mampu bersama atas dasar perbezaan ideologi politik masing-masing, tetapi atas niat mahu merubah dan memerintah semuanya itu dapat dihadam dengan baik secara perlahan-lahan. Akhirnya siang dan malam semacam menjadi sama pada mereka kerana sibuk mahu mencari-cari kesalahan kuasa yang sedia ada dan mungkin juga mencipta satu isu yang boleh mengemparkan Negara!. Pada mereka yang mencipta isu-isu panas seperti ini, mereka sekaligus akan dianggap wira dan hadiahnya mereka layak untuk dijadikan calon PR akan datang. Inilah fenomena yang pernah kita saksikan ketika PR12 dahulu. Tidak mustahil juga berlaku ketika PR13 akan datang.

Dari kedua-dua pihak yang ingin menjadi hero dikalangan umat ini, sangat sedikit dikalangan mereka yang lari dari prinsip serta etika biasa dengan membina reputasi dan sahsiah diri dengan corak kepimpinan yang neutral dan gagasan pemikiran hebat tanpa terikat dengan birokrasi dan agenda parti masing-masing sehingga menjangkau bukan saja wawasan 2020 malah wawasan akhirat yang lebih besar dan kekal abadi itu.

Apakah jaminan jika pemerintah atau kuasa yang ada sekarang ini diganti, kita sebagai masyarakat Malaysia amnya akan terjamin selamat dan aman damai sama seperti sebelumnya? Pada saya tidak ada bezanya kerana corak dan system yang menyebabkan mereka berkuasa tetap sama seperti pihak yang ada sekarang. Dan pihak yang kalah sampai bila tidak akan duduk diam dan merasa senang dengan kemenangan mereka.

Maka apa yang terjadi recycle fenomena seperti sebelumnya akan berulang dan terus berulang. Hingga nanti akan melahirkan muka-muka baru dalam membentuk corak kepimpinan tetapi masih mengekalkan budaya dan trend lama untuk mengekalkan kuasa.

Sudah sampai masanya untuk kita mengubah cara berfikir dan pemahaman kita terhadap hidup dan persoalan hidup ini sebenarnya. Agar menjadi lebih jelas dan teratur corak kehidupan ini. Mana mungkin suatu system yang rapuh dan jauh dari landasan yang Allah kehendaki akan mampu kekal lama dan berkuasa buat selamanya. Allah yang mencipta manusia ini, Allah jua yang berhak menentukan sistem dan peraturan hidup buat manusia itu. Selama kita menafikan dan menolaknya dalam diam, maka selama itulah kehancuran dan kebobrokan tetap akan berlaku pada umat manusia ini. Sehinggalah satu saat ketika dipanggil oleh Allah, lidah akan menjadi kelu untuk memberi alasan lagi terhadap persoalan yang bakal ditanyai oleh Allah kelak.

Oleh itu marilah kita mencari pemimpin yang takutkan Allah, yang minta dibantu menegakkan kebenaran, yang minta ditegur jika mereka melakukan kesalahan. Pemimpin yang adil dan merendah diri, kehidupan mereka tidak jauh beza dengan rakyat. Dia boleh ditegur oleh rakyatnya, kasih sayang terserlah diwajahnya, sombong dan takabur tidak ada pada dirinya ,rakyat taat dan sayang padanya. Kepentingan rakyat sangat dijaga, wang rakyat dan negara tidak disalah guna. Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya. Rakyat diajak mentaati Allah dan Rasulnya.

Sikap pemimpin yang adil seperti ini mereka sangat dikasihi oleh rakyatnya. Merekalah penyelamat umat dunia dan akhirat. Jika tiada pemimpin seperti ini, inilah yang berlaku umat menjadi huru hara.Kacau bilau dan porak peranda. Akibat dari itu bukan Tuhan yang susah tetapi manusia itu sendiri yang susah. Allah susahkan dan hinakan diatas dunia lagi sebelum nanti dibakar oleh Allah diakhirat kelak. Waliyazubillah.

No comments:

Post a Comment