Wednesday, April 18, 2012

DAKWAH, PENDAKWAH, APA YANG DIDAKWAH?


Dewasa ini kita melihat suasana dan kemahuan masyarakat kepada Islam begitu memuncak. Saban hari malah jua saban waktu kita disajikan dengan bahan-bahan ilmiah samaada melalui pembacaan, pendengaran tidak kurang juga dengan hiburan dan alternative lain yang semuanya menjurus kepada kebaikan dan corak Islami.

Masjid dan surau sekarang sudah tidak lagi sepi dan dihadiri oleh golongan pencen sahaja, malah sudah terdapat anak-anak muda yang turut memeriahkannya. Kuliah-kuliah agama yang berbentuk ilmiah mahupun lawak jenaka mercup tumbuh subur dimana-mana. Hadirin yang mendengar pun sudah meningkat ke angka ribuan orang.

Jika dahulu seorang yang bergelar ustaz mungkin terhad peranannya sebagai imam mahupun jurunikah ataupun guru agama yang mengajar di sekolah-sekolah agama ataupun kerajaan, tetapi kini ustaz sudah boleh berbangga dengan jumlah peminat yang ramai hingga mencetuskan kelab peminat ustaz. Tidak kurang juga ustaz yang populariti mereka sama hebat dengan artis-artis terkenal sehingga mencetuskan fenomena baru dalam industri hiburan alaf kini.

Layakkah ustaz-ustaz ini digelar pendakwah? Apakah usaha-usaha mereka selama ini sudah cukup dan berkesan dalam usaha dakwah sebenar. Sejauh mana perubahan dan jalan berfikir masyarakat telah terubah sepenuhnya hasil dari gerak kerja mereka. Atau adakah mereka sekadar mengisi ruang kosong yang ada dan seterusnya dapat mencari peluang kehidupan hasil dari bergelar ustaz dan menjadi popular. Persoalan ini hanya masyarakat sendiri yang boleh menilai dan membuat rumusan.

Pendakwah ialah mereka yang menyeru kejalan kebaikan dan menghalang kerja-kerja mungkar. Dakwah dalam erti kata lain yang lebih luas ialah satu usaha murni ke arah membawa manusia ke jalan Allah dan mentauhidkan Allah. Membesarkan akhirat melebihi daripada dunia. Kesan dari dakwah juga dapat mengubah hati dan pemikiran masyarakat. Hati dapat ditawan dengan diberi doktrin iman dan taqwa. Bila hati telah dapat disi dengan iman dan taqwa maka masyarakat secara semulajadinya akan berubah dan bersatu hati mereka. Persatuan hati ini tidak akan dapat dihalang oleh batasan sempadan Negara.

Inilah yang seharusnya dilakukan oleh para pendakwah. Merubah cara berfikir masyarakat dan mengubat hati-hati mereka dengan memberi mereka makanan berupa zat iman dan zat taqwa. Ketika ini kelihatannya Negara kita sedang berperang dengan fahaman dan perang saraf barat yang ternyata ampuh dan berkesan. Sedangkan kita hanya mampu melawan dengan senjata ekonomi berserta fahaman nasionalis yang ada. Kita perlukan lebih dari itu. Semangat kebangsaan yang ada tidak akan mampu merubah apa yang telah rosak dikalangan masyarakat kita kini. Kita perlukan senjata yang lebih ampuh,dan senjata itu tidak lain adalah senjata agama.

Agama itu terasnya iman dan taqwa. Dan doktrin iman dan taqwa itulah yang paling kuat dan bertenaga untuk memerangi Barat dan musuh-musuh lahir yang lain. Inilah kerja-kerja mulia dan sejati yang sepatutnya dilagang oleh para pendakwah. Dakwah dan tarbiah yang bersungguh harus kerap dan meluas sasaranya. Pendakwah juga harus punyai kekuatan luar biasa tanpa jemu dan menagih imbuhan material yang ada. Golongan hartawan dan dermawan harus berganding dalam mengisi tabung dan keperluan para pendakwah. Teknokrat dan ilmuwan pula harus memiliki inisiatif dalam menyebarkan mesej-mesej dakwah dengan pelbagai agar masyarakat menjadi lebih faham akan teras dakwah sebenar.

Manakala golongan berkuasa dan yang memiliki pengaruh membiarkan diri mereka serta kepentingan mereka untuk dijadikan alat bagi mencapai sasaran dakwah ketengah masyarakat. Golongan abid yang hati mereka cenderung beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah semata, berdoa dan bermunajatlah agar pendakwah-pendakwah yang bergelanggang ketengah masyarakat ini tidak terpesong niat dan hala tuju mereka. Bersama-sama berganding bahu dalam usaha melahirkan masyarakat yang beriman dan bertaqwa.

Sebagai akhirnya marilah kita renung bersama kata-kata ini…

ISLAM YANG TELAH BERKEMBANG

LAKSANA BUNGA YANG INDAH

YANG BERKEMBANG MEKAR HARUM MEWANGI

TUMBUHNYA MEMENUHI BUMI

LEMBAH DAN TANAH YANG TINGGI

KESUBURAN ITU TELAH DIBAJAI OLEH DARAH PARA SYUHADA’

KEMBANGNYA ITU TELAH DISIRAMI OLEH AIR PELUH PARA MUJAHID

TAMANNYA ITU TELAH DIPAGARI OLEH PARA MUJTAHID DAN MUJADID

PANDUAN KITA DIAMBIL DARI AL-QURAN SUNNAH RASULULLAH

BERKUMANDANGLAH KALIMAH TOYIBAH

DARI PEMBELA AGAMA KEBENARAN

KEINDAHAN ISLAM TELAH TERPANCAR

OLEH HARTA SIKAYA YANG PEMURAH

IBARAT AIR MENGALIR DERAS

DERMANYA BAGAI MENCURAH-CURAH…

No comments:

Post a Comment