Saturday, July 2, 2011

Sedekah punca kekuatan ekonomi Umat Islam


Melihat kepada tajuk yang di bincangkan kali ini ternyata ianya begitu skeptikal sekali dan jauh menyimpang dari formula asas tokoh-tokoh ekonomi dunia yang menjadi pegangan hidup manusia abad ini. Apakah relevannya persoalan ini untuk dimuatkan dalam blog saya kali ini.

Sesuatu yang menarik ingin saya kongsikan agar kita semua mungkin boleh mendapat manfaat bersama-sama. Ialah tentang kehidupan dan pengalaman saya sendiri. Akhir-akhir ini kehidupan saya begitu benar-benar menguji iman dan keyakinan diri terhadap kuasa Allah yang hak.

Dengan ketiadaan pendapatan yang tetap ditambah dengan perniagaan yang merosot membuatkan keadaan kehidupan saya begitu menggugat sekali. Hidup bagai kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kemuncak kesusahan saya ialah bilamana wang simpanan yang ada telah habis dan menyusut jumlahnya.

Walau pun berbagai-bagai usaha telah di lakukan tetapi semuanya mengalami jalan buntu dan tiada jalan keluar. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk munajat kepada Allah dengan membuat ritual ibadah yang amat ketat dan specifik bentuknya. Tetapi sayangnya, saya masih tidak dapat jawapan terhadap semua permasalahan yang berlaku dan apakah bentuk dan jalan yang perlu saya buat. Fikiran saya jadi buntu dan langsung tidak berfungsi lagi.

Sehinggalah saya di pertemukan oleh Allah dengan seorang sahabat baik saya, langsung saya pun terus menceritakan tentang permasalahan saya kepadanya. Apa yang menariknya daripada komentar beliau ialah beliau menyuruh saya bersedekah. Saya termenung sejenak, bagaimana saya mampu melakukan sedekah di saat saya sendiri benar-benar memerlukan. Dan sudah barang tentu saya tidak punyai kemampuan.

Akhirnya saya tekad, ketika itu wang yang ada hanyalah bernilai sebanyak RM60.00 sahaja. Dengan penuh yakin dan berharap janji Allah sudah barang tentu tepat, saya korbankan wang saya RM50.00 untuk sedekah. Dan ketika itu saya hanya memiliki baki wang sebanyak RM10.00 sahaja. Bayangkan apakah yang mampu dibeli dengan wang sebanyak itu di saat-saat kita benar-benar memerlukan.

Dengan kuasa Allah, sehari selepas perisitiwa itu, entah bagaimana saya menerima satu panggilan dari seseorang yang amat saya kenali mengatakan beliau telah pun bank-in kan duit ke dalam akaun saya sebanyak RM500.00. Subhanallah! saya terpaku sebentar dan menitiskan airmata melihat kuasa Allah yang begitu hebat. Allah ganti sedekah yang RM50.00 dengan gandaan 10 kali ganda. Saya menyangka hanya itu sahajalah wang yang saya perolehi rupa-rupanya tidak lama selepas itu saya dikejutkan lagi dengan satu panggilan, seorang teman yang lain pula menelefon memberitahu beliau dah bank-in kan akaun dalam akuan saya sebanyak RM200.00. Lagi sekali saya isthigfar panjang dan merintih kepada Allah betapa lemah dan tak berdaya nya saya.

Indahnya hasil bilamana kita dapat bersedekah. Dan betapa cemas dan bimbang perasaan kita sebagai hamba yang lemah hendak mengorbankan sesuatu yang kita sendiri benar-benar memerlukannya. Ketika ini fahamlah saya mengapa Rasulullah sendiri dan juga para-para sahabat beliau suka melakukan sedekah di saat mereka benar-benar susah dan memerlukan barang yang mereka sedekahkan itu.

Ini ialah kerana betapa tinggi nilai dan perhargaan Allah kepada hambaNya yang mampu mengorbankan sesuatu yang mereka perlukan dan tinggi juga pergantungan hamba kepada Tuhannya. Kemuncak Tauhid yang tidak yang tidak dapat di nyatakan melalui perkataan mahupun tulisan. Dan janji-janji Allah yang tidak pernah mungkir kepada mereka-mereka yang sanggup membeli akhirat dengan mengorbankan dunia yang ada ditangan mereka. Walaupun dunia itu halal untuk mereka menikmatinya.

Inilah rahsia tokoh-tokoh korporat di zaman Rasulullah dapat berjaya memliki kekayaan dan kecemerlangan di dalam business mereka. Mereka menjadi orang yang senantiasa memberi lebih daripada menerima. Dan memberi mereka amat luar biasa bukan hanya di waktu mereka senang malah ketika mereka susah juga, memberi mereka lebih hebat daripada biasa. Sifat memberi ini bukan hanya pada orang kaya mereka sahaja tetapi juga mereka yang miskin tidak kurang juga. Akhirnya kehidupan mereka harmoni bahagia. Masing-masing berebut untuk menjual dunia mereka bagi membeli akhirat yang kekal abadi.






No comments:

Post a Comment