Friday, July 1, 2011

BERSIH 2.0


Sejak perubahan cuaca politik tahun 2008 yang menyaksikan parti pemerintah mengalami gegaran kuasa, usaha parti pembangkang yang bergabung atas nama Pakatan Rakyat tidak pernah surut dan padam ke arah merebut kuasa atau dalam erti kata lain mahu menganggu gugat kuasa parti pemerintah yang sedia ada.

Justeru isu demi isu sering dibangkitkan diantara kedua-dua pihak dalam usaha untuk menarik rakyat agar simpati dengan mereka dan meyokong perjuangan mereka. Ironinya kedua-dua pihak yang bertelingkah ini sering mendabik dada merekalah "Pejuang Rakyat" atau dalam erti kata yang lain merekalah penyelamat terhadap krisis demi krisis yang mereka sendiri cetuskan dan lemparkan ketengah masyarakat.

Atas nama keadilan untuk semua, mahkamah rakyat, kuasa rakyat dan pelbagai slogan demi slogan, tidak kurang juga hero baru mahupun hero lama yang ditonjolkan, masyarakat menjadi bertambah keliru dan tidak kurang juga yang terpengaruh untuk sama-sama berganding bahu menyertai gerombolan ini untuk melakukan satu perubahan ataupun transformasi yang mereka cipta sendiri.

Semangat dan gerak kerja ini bertambah kuat dan mendesak apabila melihat banyak negara-negara Islam yang lain telah pun berubah pemerintahnya atas desakan rakyat marhain yang memberontak dan mendesak mereka untuk berundur dari puncak kuasa. Dengan memakan korban jiwa yang bukan sedikit negara itu sedikit sebanyak telah terlihat secara lahiriahnya berubah. Persoalannya apakah keuntungan sebenar yang mereka perolehi hasil daripada perubahan tersebut?

Kesempatan saya melawat Jakarta, Ibu Negara Indonesia yang mempunyai populosi penduduk Islam teramai dunia membuat saya termenung dan berfikir sejenak. Ketika era reformasi besar-besaran oleh rakyat marhain dengan diketuai oleh Amien Rais, mereka berjaya menundukkan kuasa pemerintah Suharto yang telah berkuasa selama lebih 3 dekad. Di waktu itu rakyatnya berpesta dan ada juga yang mengambil kesempatan dengan membalas dendam dengan bangsa minoriti yang selama ini mendapat laba yang banyak hasil daripada polisi Pak Harto.

Kesudahan yang berlaku kepada negara ini, apakah reformasi dan perubahan yang mereka laung-laungkan selama ini benar-benar berjaya merubah corak kehidupan dan gaya hidup mereka. Ternyata jauh panggang daripada api sebenarnya. Peratus rakyat yang menjadi miskin menjadi-jadi, kejujuran sudah tidak dipedulikan lagi, rasuah dimana-mana, walaupun pemerintah yang ada sekarang begitu tegas memerangi penyakit rasuah ini.

Gelombang kebencian rakyat kepada pemerintah yang sedia ada berulang kembali. Dan mereka mahu pemerintah yang ada ditukar lagi walaupun Pemilu baru sahaja melabuhkan tirainya. Ironinya bukankah pemerintah yang ada sekarang adalah penyelamat yang mereka harap-harapkan sebelum ini membela nasib mereka?

Inilah realiti masyarakat Islam dimana-mana, termasuk lah juga dinegara kita tercinta Malaysia. Walaupun trend menukar kerajaan tidak begitu menyerlah di sini, memandangkan polisi dan undang-undang yang ketat mengawal semua pergerakan rakyat. Tetapi kecenderungan itu ada dimana-mana. Api yang ditabur, marak dimana-mana. Benih kebencian terhadap pemerintah disemai dimana-mana. Di sekolah, di masjid dan surau, di dewan masyarakat dan termasuklah juga dikedai-kedai kopi. Segala yang dilakukan oleh pemerintah semuanya dianggap remeh dan tidak berguna sama sekali.

Persoalan kita sekarang. Apakah kesudahan semua ini? Apakah yang kita mahu dan cari? Pada saya semua pihak samada pemerintah mahupun pembangkang, pengikut mahupun pemimpin, jemaah Islam mahupun jemaah parti politik. Hendaklah sama-sama koreksi diri masing-masing apakah yang kita mahu sebenarnya dalam hidup ini. Kita seharusnya dapat menilai dengan jitu dan tepat perbezaan di antara tujuan hidup dan keperluan hidup. Alat dan matlamat. Supaya hidup kita bertambah matang dan tidak mudah terpengaruh dengan desakan pihak musuh yang bertopeng atas nama Keadilan untuk memecah belahkan umat Islam di negara tercinta ini.

Apakah kita ingin nasib bangsa dan juga rakyat secara umumnya menjadi taruhan untuk memenuhi kehendak dan agenda peribadi yang tersembunyi dalam benak fikiran masing-masing. Belum cukupkah penderitaan dan gejala penyakit sosial yang ligat dan berpesta di kalangan masyarakat kita selama ini. Tidak termasuk lagi dengan bebanan hidup dan kos-kos sara hidup yang semakin mengigit dan mencengkam.

Belum lagi kah sampai masanya untuk umat Islam kembali kepada Islam yang sebenarnya. Islam is the way of life. Islam yang menjadi suluhan hidup dan peribadi masing-masing di dalam segenap aspek kehidupan yang bukan hanya menyentuh hal politik dan ibadah semata-mata. Mampukah kita berhadapan dengan tentera-tentera Allah yang akan menyerang kita bagi tujuan menyedarkan kita untuk kembali semula bersatu atas nama Tuhan yang mencipta dan mematikan kita. Belum cukupkah lagi bala bencana yang menimpa umat ini seperti penyakit-penyakit jiwa, zina, rasuah, penipuan dan pecah amanah menjadi barah dalam kehidupan masyarakat kita sekarang.

Persoalan yang lebih penting dan utama ialah, berazamlah kita untuk sama-sama memBERSIHkan hati dan nurani kita agar kembali kepada fitrahnya. Kenali diri dan potensi masing-masing dan yang lebih utama musuh-musuh batin yang tidak pernah berhenti untuk mendorong kita melakukan sesuatu yang ditegah oleh Allah. Inilah perjuangan yang lebih penting dan utama. Kerana bila kita kembali ke akhirat nanti, yang dinilai oleh Allah ialah Qalbun Salim, iaitu hati yang sejahtera, yang bahagia dan membahagiakan. BERSIH daripada segala kekotoran mazmumah dan penyakit hati yang lain. Inilah perjuangan hakiki yang dikenali sebagai "Perjuangan nafas panjang ataupun "The Long Breath War".

No comments:

Post a Comment